Raja Charles III muncul di khalayak umum, Putera Harry kembali ke London
LONDON - Pemerintah Britain, Raja Charles III muncul di khalayak umum buat pertama kali sejak baginda didiagnos menghidap kanser.
Charles III bersama Permaisuri Camilla dilihat menaiki kereta bersama dan turut melambaikan tangan ketika meninggalkan Clarence House di London pada Selasa dan kini berada di Sandringham di Norfolk.
Putera Harry dilaporkan bergegas pulang dari Amerika Syarikat (AS) untuk menemui ayahandanya sejurus menerima khabar tersebut.
Pertemuan antara Duke of Sussex dan Charles III berlangsung selama kira-kira 45 minit dan BBC melaporkan Harry tidak merancang untuk bertemu kekandanya, William setelah hubungan kedua-duanya dikatakan agak tegang sebelum ini, gara-gara pendedahan memoir berjudul Spare yang membongkar kepincangan keluarga diraja berpengaruh itu.
Keadaan kesihatan Charles III, 75, diumumkan Istana Buckingham pada Isnin, namun tidak memberikan butiran secara terperinci.
Barah itu dikesan ketika baginda menjalani prosedur rawatan prostat membesar. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!