Usah gadai maruah Sang Saka Biru - Musa
KUALA LUMPUR - Jangan musnahkan kepercayaan masyarakat dengan perbuatan pecah amanah dan salah guna kuasa demi kepentingan diri.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kekerapan laporan berhubung salah laku pegawai dan anggota polis yang terlibat dengan jenayah dan salah guna kuasa menyebabkan masyarakat berasa gusar.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) berkata, masyarakat menaruh kepercayaan sangat tinggi kepada pasukan polis untuk menjaga keamanan dan keselamatan orang ramai.
Penasihat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) itu berkata, seluruh lapisan masyarakat menaruh harapan besar kepada polis untuk membanteras kegiatan jenayah.
"Tetapi akhir-akhir ini dengan tersebarnya berita negatif dan penglibatan segelintir pegawai serta anggota yang melakukan jenayah dan penyelewengan, ia membuka satu persepsi kurang baik kepada masyarakat.
"Malah teguran dan amaran yang dibuat oleh barisan kepimpinan secara terbuka menggambarkan kepada masyarakat bahawa kawalan disiplin anggota dan pegawai adalah longgar serta tidak tegas.
"Perkara seumpama ini boleh menyebabkan kepercayaan masyarakat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan luntur," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, Musa berkata, PDRM perlu berusaha memperbaiki mutu perkhidmatan, seterusnya mendapat kepercayaan masyarakat.
Selain itu menurut beliau, pucuk kepimpinan PDRM harus melakukan penambahbaikan seperti pemantauan tegas terhadap pegawai serta anggota semasa menjalankan tugas dengan mengadakan 'spot check' untuk menentukan standard of prosedure (SOP) dipatuhi sepenuhnya.
Tambah beliau lagi, 'briefing dan debriefing' perlu diadakan oleh pegawai penyelia semasa keluar bertugas dan selepas habis tugas.
Tegas beliau, semua tindakan perlu dicatat dalam diari gerakan untuk disemak semula sekiranya timbul pertikaian.
"Tentukan setiap tindakan yang dilakukan semasa bertugas dilapor kepada bilik gerakan dan dicatat dalam diari berhubung tindakan yang telah mereka ambil.
"Selain itu, pegawai polis harus mencatat dalam pocket book segala tindakan yang diambil, sebagai contoh semasa menahan dan memeriksa orang mesti dicatat dengan lengkap," ujarnya.
Beliau berkata, pegawai dan anggota yang menjalankan tugas tetapi tidak mengikut prosedur perlu diambil tindakan tegas.
Menurutnya, 'inservice training' perlu diwujudkan agar pegawai dan anggota akan selalu diperingatkan dengan prosedur, seterusnya mengingatkan mereka untuk bertindak dengan betul.
Selain itu katanya, Skim Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD) yang telah lama diwujudkan perlu dikendalikan dengan betul bagi menentukan ahli-ahli PDRM mempunyai disiplin yang tinggi.
"Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) perlu aktif untuk menjalankan kaunseling dan pemulihan terhadap pegawai dan anggota yang bermasalah.
"Wujudkan retraining bagi pegawai dan anggota yang bermasalah untuk menerapkan disiplin serta pengetahuan bertugas dengan betul.
"Perkara paling penting adalah mengeratkan hubungan dengan masyarakat, seterusnya mendapatkan kepercayaan masyarakat kepada PDRM," ujar beliau.
Musa berkata, pegawai atasan perlu mempunyai integriti yang tinggi dan tidak menjalinkan hubungan dengan individu-individu 'shadowy character' atau terlibat dengan kegiatan haram kerana orang bawahan akan sentiasa memerhatikan mereka.
Selain itu kata beliau, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman perlu memainkan peranan untuk menjalankan pemantauan terhadap penyelia dan pegawai semasa menjalankan tugas.
Menurutnya, PDRM juga perlu mewujudkan saluran yang mana masyarakat dapat berhubung terus dengan pegawai atasan jika terdapat pegawai dan anggota yang menyalah guna kuasa.
"Ketua Polis, Ketua Polis Daerah (KPD) boleh berkongsi nombor telefon mereka dengan masyarakat agar orang awam boleh mengadu terus dan tindak cepat dapat diambil.
"Kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang akan mengendalikan siasatan sekiranya terdapat aduan dari masyarakat berkaitan salah laku oleh pegawai dan anggota polis.
"Yang paling penting, disiplin pasukan perlu dititik beratkan oleh semua peringkat pegawai dan anggota agar pasukan polis akan terus dihormati oleh masyarakat.
"Walaupun ada segelintir ahli pasukan PDRM yang terlibat dengan salah guna kuasa, tetapi jika tidak dibendung ia akan merebak kepada yang lain," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!