Jordan lebih agresif dari Korea Selatan
JORDAN menampilkan persembahan lebih agresif berbanding Korea Selatan ketika negara Asia Barat itu mengesahkan slot perlawanan akhir Piala Asia Qatar 2023 pada Selasa.
Malah, Pengendali Korea Selatan, Jurgen Klinsmann mengakui Jordan layak menangi aksi separuh akhir di Stadium Ahmad Bin Ali tersebut.
“Kecewa kerana kami mempunyai matlamat untuk mara ke final tetapi Jordan berhak mendapat kemenangan ini. Mereka layak ke final kerana tampil lebih agresif daripada kami.
“Saya telah beritahu pemain-pemain bahawa pertarungan ini perlu dimenangi tetapi Jordan memenangi hampir setiap pertarungan pada separuh masa pertama. Namun apabila anda bolos bermakna terdapat kesilapan tertentu terhadap pasukan.
“Saya sangat kecewa dan sangat marah kerana kami sepatutnya boleh melakukan yang lebih baik. Perbincangan sebelum perlawanan kami ialah kami perlu menguasai rentak separuh masa pertama. Tetapi kami hampir tidak wujud dalam 30 hingga 35 minit pertama. Jordan lebih mahukannya dan menunjukkannya,” kata Klinsmann.
Dalam perlawanan itu, Taegeuk Warriors mempunyai hampir 70 peratus penguasaan bola tetapi Son Heung-min dan rakan sepasukannya gagal menghadirkan ancaman terhadap benteng terakhir Jordan yang dikawal penjaga gol Yazeed Abulaila.
Sementara itu, Klinsmann mengakui pengalaman Qatar 2023 akan menjadi dos penggalak pasukan dari Asia Timur tersebut untuk lebih garang apabila menyingkap semula kempen Kumpulan C Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Thailand di Stadium Piala Dunia Seoul pada 21 Mac depan.
“(Jurulatih) sentiasa bertanggungjawab terhadap bagaimana kejohanan berjalan untuk pasukan. Ia merupakan kejohanan yang sangat menarik kerana kami berdepan Arab Saudi dan Australia. Seperti yang anda boleh lihat ketika berdepan Jordan pada separuh akhir, ia menunjukkan betapa sukarnya kumpulan kami.
“Kami kini akan menganalisis penampilan di Qatar 2023 kerana diakui pasukan perlu lebih tajam di bahagian depan. Ini adalah pasukan yang sedang membangun. Sekarang kita perlu bersedia untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia.
“Secara umumnya, saya menikmati kejohanan ini dan banyak belajar. Sungguh mengagumkan melihat banyak negara berjuang dalam perlawanan ini,” kata Klinsmann.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!