Finas diminta teliti skim wajib tayang - Fahmi
KUALA LUMPUR - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) diminta untuk meneliti dan mengkaji penambahbaikan yang boleh dilakukan terhadap skim wajib tayang bagi meningkatkan kualiti penghasilan filem tempatan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, terdapat sedikit masalah dengan skim sedia ada yang menyebabkan sesetengah pihak mengambil kesempatan menyiapkan filem-filem mereka sekadar cukup syarat.
"Ini tidak begitu baik untuk ekosistem filem dalam negara kita. Maka saya telah minta pihak Finas untuk meneliti dan mengkaji semula skim wajib tayang antara lain melihat dua perkara, satu adalah proses pembikinan skrip filem itu sendiri untuk memastikan naskah yang disediakan sebelum produksi adalah berkualiti tinggi.
"Kedua adalah aspek pemasaran. Kalau kita lihat filem-filem yang tidak berjaya mendapat pecah panggung, ia antara lain disebabkan kurang membuat pemasaran dan hanya mengharapkan skim wajib tayang. Jadi di sini saya minta juga Finas untuk meneliti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus dan Jalinan Mesra bersama pengusaha-pengusaha pawagam di sini pada Rabu.
Fahmi berkata, pihaknya mengharapkan lebih banyak filem-filem tempatan akan dapat menembusi pasaran luar negara terutamanya negara-negara ASEAN lebih-lebih lagi di kala Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan dan juga menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Hasrat saya adalah untuk menghasilkan lebih banyak filem Malaysia yang bukan hanya dapat tayang di Malaysia tetapi juga boleh dibawa ke luar. Dan semestinya kita utamakan ASEAN.
"Pawagam di Malaysia memainkan peranan yang cukup penting sebagai tempat pertama filem kita ditayangkan sebelum ia dibawa ke pasaran lain,” katanya.
Sementara itu, Finas dalam satu kenyataan memaklumkan Sesi Libat Urus dan Jalinan Mesra ini dianjurkan bersama Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) sebagai satu inisiatif menyokong perkembangan industri pawagam negara serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan pemain industri.
Menurut Finas, sesi interaktif ini antara lain membincangkan isu yang dihadapi pihak pawagam, termasuk cabaran semasa yang memerlukan penyelesaian segera. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!