Kebakaran dahsyat: Australia peruntuk dana RM5.7 bilion
SYDNEY - Pasukan tentera simpanan membantu mengawal kebakaran di tiga negeri Australia semalam selepas hujung minggu yang mengerikan di negara itu.
Keadaan makin genting selain berdepan kecaman orang ramai menyebabkan kerajaan berjanji akan memperuntukkan dana A$2 bilion (RM5.7 bilion) untuk tempoh dua tahun bagi memulihkan keadaan akibat krisis yang berlarutan selama beberapa bulan tersebut.
Bencana kebakaran belukar itu telah memusnahkan kawasan seluas negara Ireland atau South Carolina di Amerika Syarikat (AS). Pihak berkuasa memberi amaran keadaan itu mungkin akan berterusan selama beberapa bulan.
Anggota bomba bersama pasukan dari AS dan Kanada cuba mengambil peluang daripada hujan dan keadaan lebih sejuk untuk mengawal kebakaran itu sebelum suhu diramalkan meningkat pada minggu ini.
Buat pertama kali dalam sejarah Australia, kerajaan turut mengerahkan pasukan bantuan perubatan yang biasanya dihantar ke negara lain yang ditimpa bencana untuk bersama-sama mengawal kebakaran tersebut.
“Tidak ada ruang untuk berehat kerana masih terdapat lebih 130 kebakaran di seluruh New South Wales (NSW),” kata Ketua Menteri NSW, Gladys Berejiklian.
Sejak akhir September lalu, hampir lima juta hektar (50,000 kilometer persegi) kawasan di NSW dan lebih 1.2 juta hektar di Victoria musnah selain sekurang-kurangnya 24 dilaporkan terkorban.
Perubahan iklim jadi punca
Impak kebakaran belukar telah menjejaskan komuniti selain asap tebal memenuhi ruang udara bandar kedua terbesar, Melbourne dan ibu negara, Canberra.
Beberapa jabatan kerajaan terpaksa ditutup di Canberra berikutan kualiti udara berada pada tahap membimbangkan.
Bencana dahsyat itu terus mencetuskan kemarahan banyak pihak terhadap ketidakcekapan Perdana Menteri, Scott Morrison.
Kumpulan penunjuk perasaan juga merancang untuk mengadakan protes pada Jumaat ini bagi mendesak kerajaan meningkatkan usaha menangani fenomena perubahan iklim yang didakwa pakar menjadi punca kebakaran itu marak dengan cepat.
Di Los Angeles, bintang Hollywood, Russell Crowe memaklumkan beliau kembali ke Canberra untuk membantu menangani kebakaran itu.
Aktor tersebut percaya bencana berkenaan disebabkan oleh perubahan iklim.
“Kita perlu bertindak terhadap sains, menggerakkan tenaga boleh diperbaharui dan menghormati bumi. Dengan cara itu, generasi akan datang dapat menikmati alam sekitar yang nyaman,” tegasnya.
Aktres Australia, Cate Blanchett pula memuji usaha keras pasukan sukarelawan bomba.“Kita bersatu menghadapi bencana iklim ini,” ujarnya.
Sementara itu, rayuan global untuk membantu anggota bomba menangani bencana kebakaran dahsyat di Australia berjaya mengumpulkan lebih A$25 juta (RM71 juta).
Pelawak, Celeste Barber menggunakan pengaruhnya di media sosial untuk melancarkan tabung dana tersebut di Facebook dan berjaya memperoleh jumlah tersebut daripada derma yang disalurkan dari seluruh dunia dalam tempoh tiga hari. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!