Pemain digugurkan wajar diberikan peluang kali kedua
BARISAN kejurulatihan pasukan kebangsaan dan remaja perlu lebih teliti dalam pemilihan skuad termasuk tidak melupakan pemain yang pernah digugurkan kerana mereka mampu memberi impak besar buat negara.
Pemerhati bola sepak, Azlan Johar berkata, mereka yang pernah tersisih sebenarnya mempunyai potensi, namun mungkin nasib tidak menyebelahi mereka untuk mewakili pasukan kebangsaan.
Malah katanya, mereka sewajarnya diberi peluang kedua untuk berada dalam pasukan negara kerana prestasi pemain bola sepak ada ketika diundang pasang dan surut.
“Jangan terlepas pandang. Barisan kejurulatihan perlu pantau pemain yang pernah digugurkan kerana mereka mampu menyerlah jika diberi peluang kali kedua.
“Sejarah sudah membuktikan, pemain yang digugurkan lebih baik berbanding pemain sedia ada dalam pasukan kebangsaan.
“Misalnya, Wong Hung Nung bekas pemain Selangor sekitar era 1970-an. Dia tidak pernah wakil negara dalam peringkat umur, namun sangat menyerlah ketika beraksi bersama pasukan kebangsaan. Begitu juga dengan Subadron Aziz,” katanya kepada Sukan Sinar.
Azlan juga berharap skuad bawah 23 tahun (B-23) negara yang bakal menggalas cabaran dalam saingan Piala Asia B-23 di Qatar April depan diberi pendedahan secukupnya bagi membolehkan mereka memberi tentangan sengit kepada pasukan lawan.
Malah kata beliau, setiap pemain perlu mempunyai jadual latihan sendiri yang perlu diserahkan kepada kelab atau pasukan masing-masing.
“FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan kelab wajar bekerjasama untuk memantau perkembangan mereka agar prestasi dan kecergasan mereka sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.
Beliau menjelaskan, begitu juga dengan para pemain di peringkat umur muda perlu berada dalam radar persatuan negeri dan kelab agar potensi dan bakat mereka tidak terlepas pandang.
“Buat apa ada pengarah teknikal. Ini tugas mereka, pantau dan beri nama bakat baharu kepada kelab dan FAM untuk digilap ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Azlan menjelaskan keperluan kepada pemantauan tersebut adalah untuk memastikan tiada bakat muda yang berpotensi tercicir daripada kaca mata FAM dan kelab.
“Malaysia memerlukan ramai bakat baharu dan muda bagi menggantikan para pemain senior untuk mewakili negara di pentas antarabangsa. Kita mahu kekal relevan dalam setiap kejohanan Piala Asia pada edisi mendatang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!