Giliran Nur Dhabitah, Wendy terlepas slot ke Paris 2024
GANDINGAN penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee terlepas slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 apabila hanya menduduki tempat kesembilan saingan acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita di Kejohanan Akuatik Dunia, Doha, Qatar.
Pada aksi final di Pusat Akuatik Hamad itu menyaksikan Nur Dhabitah-Wendy mempamerkan aksi mengecewakan pada terjunan pertama apabila hanya mengutip 44.40 mata.
Gandingan itu kemudian gagal bangkit memperkemaskan teknik pada terjunan kedua hingga lima apabila hanya mengumpul mata keseluruhan sebanyak 258.30 sekali gus menamatkan saingan di tempat kesembilan.
Seperti yang dijangka tempat pertama disambar wakil China, Chang Yani-Chen Yiwen (323.43 mata) manakala pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik gandingan Australia, Smith Anabelle-Keeney Maddison (300.45 mata) dan pasangan Great Britain, Harper Yasmin-Mew Jensen Scarlett (281.70 mata).
Sebagai rekod, Nur Dhabitah-Wendy perlu menduduki tempat keempat terbaik untuk menempah slot ke temasya sukan berprestij itu bagi acara berkenaan.
Bagaimanapun, Nur Dhabitah dan Wendy masih mempunyai satu lagi peluang untuk ke Paris 2024 menerusi acara 3m papan anjal individu yang bermula dengan pusingan kelayakan, esok.
Awal pagi tadi, Nur Dhabitah dan ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong turut terlepas tiket acara 10m platform seirama untuk ke Paris 2024 selepas hanya menamatkan saingan di kedudukan ke-12 di kejohanan sama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!