Kg Baru Cina dijadikan Tapak Warisan Dunia: Pekida selar cadangan Kor Ming

Pekida menyelar cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mahu menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.Gambar hiasan.(Foto 123rf) Gambar kecil: Mohd Foad
Pekida menyelar cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mahu menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.Gambar hiasan.(Foto 123rf) Gambar kecil: Mohd Foad
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) menyelar cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mahu menjadikan Kampung (Kg) Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Presidennya, Datuk Mohd Foad Mat Isa berkata, tindakan itu dilihat menyentuh isu perkauman dan cuba memanipulasi fakta sejarah serta memberi kesan negatif terhadap pembangunan negeri Selangor pada masa akan datang.

“Kami melihat isu ini sebagai satu tindakan yang tidak matang, bersifat eksklusif dan terpilih sedangkan umum mengetahui sejarah peradaban Malaysia telah wujud berabad lamanya.

“Tanah ini (Malaysia) juga didiami oleh bangsa Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak namun, tindakan ini seolah-olah terdapat agenda tersembunyi yang cuba direncanakan oleh pihak tertentu dalam mempertahankan perkampungan Cina,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Kor Ming dilaporkan berkata, cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Katanya, perkara berkenaan akan dibincangkan lebih terperinci dengan kerajaan Selangor.

Pada Jun tahun lalu, beliau juga mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Tambah Mohd Foad, walaupun masih diperingkat cadangan, namun perkara tersebut merupakan sesuatu yang sangat serius dan sensitif.

Artikel Berkaitan:

“Kami menggesa supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dan mengambil tindakan segera bagi menghalang hasrat Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu.

“Pekida Malaysia berpandangan lebih banyak lagi kawasan, penempatan dan tempat bersejarah yang sewajarnya diangkat dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO berbanding Kampung Baru Cina di Selangor,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Foad juga meminta Anwar untuk mempertimbangkan semula portfolio Kor Ming dan memberikannya kepada menteri Melayu seperti UMNO atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mengelakkan sebarang perancangan yang menguntungkan kaum Cina semata-mata dilaksanakan.

Menurutnya, tindakan mempertahankan perkampungan Cina dianggap tidak adil kerana pada masa sama beratus kampung-kampung Melayu dimusnahkan dan dilenyapkan atas nama pembangunan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!