Apa sahaja sifat pakaian yang melekap tidak menepati syariat
BARU-BARU ini, kecoh di laman sosial TikTok berkaitan kecaman terhadap pakaian muslimah yang menggunakan kain satin. Ia dikatakan tidak patuh syariat.
Maklum sahajalah, musim pelancaran koleksi baju raya semakin rancak walaupun Ramadan belum bermula.
Segelintir orang kurang bersetuju dengan penggunaan fabrik satin untuk pakaian muslimah. Tidak kurang juga mereka yang mempertahakan busana berkenaan.
Terpanggil untuk meleraikan kekusutan tersebut, pendakwah Ustazah Asma’ Harun menghuraikan panjang lebar tentang konsep menutup aurat bagi wanita dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya.
Jelas beliau, bukan sahaja kain satin, tetapi apa jua fabrik yang melekap pada badan sifatnya dan boleh memperlihatkan lekuk tubuh adalah tidak menepati syariat Islam.
“Sekarang ramai sudah mula berfikir untuk mencari baju raya. Namun, berhati-hatilah dalam pemilihan pakaian.
“Bukan apa, dikhuatiri hanya kerana ingin mengikut trend semasa, kita mengabaikan pula nilai-nilai agama,” nasihat beliau sepertimana dipetik menerusi Facebook miliknya.
Mengertilah, kewajipan wanita menutup aurat di hadapan bukan mahramnya adalah wajib dan tiada pertikaian.
Perkara itu jelas disebutkan dalam al-Quran menerusi ayat 59, Surah al-Ahzab dan ayat 30-31, Surah an-Nur, kata Asma’.
“Antara syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak dalam menutup aurat termasuklah pakaian mestilah tidak menampakkan anggota badan dan warna kulit.
“Bukan itu sahaja, pakaian tadi hendaklah tidak terdededah, tidak nipis, tidak ketat serta seumpamanya hingga boleh mendatangkan fitnah dan kebinasaan,” katanya.
Dalam pada itu, penceramah tersebut turut mengingatkan para muslimah supaya tidak berhias secara berlebihan hingga menarik perhatian bukan mahram (tabarruj).
Benar, ramai sudah ada kesedaran untuk menutup aurat, tetapi adakalanya perkara berkaitan tabarruj tidak diberi perhatian, ungkapnya.
“Bahkan, terdapat wanita yang gemar memilih warna-warna terang semata-mata kerana ingin mengikut trend dan mempamerkan kecantikan diri.
“Ingatlah, wanita boleh berhias hanya kepada suaminya sahaja,” tegas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!