Bantuan: JKM tingkat sistem penyampaian

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri (duduk) menyantuni klien JKM dan menyerahkan surat kelulusan bantuan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri (duduk) menyantuni klien JKM dan menyerahkan surat kelulusan bantuan.
A
A
A

SHAH ALAM - Dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup golongan yang memerlukan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa melaksanakan pendekatan proaktif dengan menawarkan perkhidmatan bantuan kewangan bagi memastikan golongan sasar.

Bantuan kewangan tersebut secara umumnya merangkumi proses pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasian yang mana ia merupakan sebahagian daripada kaedah dalam kerja sosial. Malah, bantuan kewangan yang disedia serta disalurkan oleh JKM itu mengambil kira potensi yang ada pada setiap penerima yang produktif ke arah hidup berdikari.

Secara ringkasnya, bantuan kewangan JKM kepada kumpulan sasar yang merangkumi kanak-kanak, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), orang papa, mangsa bencana, mangsa keganasan rumah tangga, pesalah muda dan mangsa pemerdagangan orang itu khusus untuk membantu golongan-golongan berkenaan memenuhi keperluan asas, meringankan beban hidup serta membantu golongan sasar mencapai kemandirian.

Sungguhpun begitu, bantuan kewangan tersebut perlu difahami bahawa ia bukanlah bersifat kekal.

Sebaliknya, ia adalah bersifat sementara sehinggalah keadaan kumpulan sasar pulih serta mampu hidup berdikari, terus kekal tinggal bersama komuniti dan masyarakat dan akhirnya keluar daripada kebergantungan bantuan kerajaan.

Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), JKM yang ditubuhkan sejak 78 tahun lalu telah melalui pelbagai fasa perubahan. Bagaimanapun, peranan JKM sentiasa kekal relevan terutamanya dalam menyediakan bantuan dan sokongan kewangan kepada golongan berkeperluan yang mana objektif utama adalah untuk memenuhi keperluan asas, menyediakan sokongan sosial, pemulihan serta menjadi sumber kewangan sementara.

Jenis bantuan, kadar dan kelayakan

Bantuan kewangan bulanan JKM terbuka kepada pelbagai golongan seperti keluarga miskin, warga emas dan OKU. Sungguhpun begitu, kadar bantuan adalah berbeza mengikut kategori skim serta keperluan golongan sasar.

Artikel Berkaitan:

Antara Kategori skim-skim bantuan bulanan yang disalurkan oleh JKM adalah seperti;

Bantuan Kanak-kanak (BKK)

- Kadar RM150 hingga maksimum RM1,000 sebulan dipertimbangkan kepada keluarga miskin atau ibu bapa tunggal yang menjaga anak-anak mereka.

Bantuan Warga Emas (BWE)

- RM500 sebulan dipertimbangkan kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas yang tidak mempunyai pendapatan.

Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU)

- RM450 sebulan dipertimbangkan kepada OKU yang sedang bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan sebagai insentif untuk terus bekerja.

Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB)

- RM300 sebulan dipertimbangkan kepada OKU yang tidak berupaya bekerja kerana kecacatan teruk dan tidak berupaya bekerja.

Bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar (BPT)

- RM500 sebulan dipertimbangkan kepada penjaga OKU terlantar atau pesakit kronik terlantar bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan keluarga penjaga.

Bantuan Am Persekutuan (BA)

- RM100 hingga RM350 sebulan dipertimbangkan kepada keluarga miskin dan kumpulan sasar lain yang memerlukan.

Bantuan Latihan Perantis (BLP)

- RM200 sebulan dipertimbangkan kepada semua kumpulan sasar JKM yang mengikuti latihan kemahiran atau penempatan kerja bagi menambahkan kemahiran dalam sesuatu bidang.

Bantuan Anak Pelihara (BAP)

- RM250 sebulan hingga maksimum RM500 sebulan sekeluarga bagi meringankan tanggungan keluarga yang sanggup menjaga anak-anak pelihara seperti anak sendiri.

Selain itu, JKM turut menyediakan perkhidmatan bantuan kewangan lain secara sekali gus (one-off) untuk manfaat kumpulan sasar melibatkan situasi-situasi tertentu seperti;

Bantuan Geran Pelancaran (BGP)

- RM2,700 dipertimbangkan kumpulan sasar JKM bagi memulakan projek atau pekerjaan yang boleh mendatangkan pendapatan ke arah berdikari.

Bantuan Alat Tiruan Dan Sokongan

- RM10,000 sehingga RM20,000 (dengan kelulusan khas) bagi membantu kumpulan sasar JKM yang tidak berkemampuan membeli alat tiruan atau alat sokongan seperti kaki palsu, kerusi roda, alat pendengaran dan lain-lain peralatan yang diperlukan.

Tabung Bantuan Segera (TBS)

- Pemberian bantuan segera kepada kumpulan sasar yang terdesak dengan kadar RM300.

PGK dan peruntukan 2024

Berdasarkan Belanjawan 2024, kerajaan telah menetapkan semula Pendapatan Garis kemiskinan (PGK) baharu sebagai syarat asas kelayakan bantuan kewangan JKM berkuatkuasa pada 1 Januari 2024.

Berdasarkan penetapan PGK baharu itu, syarat kelayakan penerima bantuan ditetapkan pada kadar RM1,198 dan per kapita semasa pada kadar RM322 selari dengan peruntukan RM2.4 bilion bagi tahun ini yang memberi manfaat kepada 450,000 kumpulan sasar.

Sungguhpun begitu, kelulusan bantuan JKM tidak bergantung pada perkiraan PGK semata-mata, tetapi turut mengambil kira pertimbangan aspek-aspek lain seperti sokongan sosial dan keadaan kewangan keluarga.

NORAZMAN
NORAZMAN

Pertimbangan itu ditegaskan sendiri Ketua Pengarah JKM, Norazaman Othman yang mana beliau menegaskan aspek sokongan sosial dan keadaan kewangan keluarga itu dilihat secara menyeluruh.

"Antara yang diambil kira melibatkan tanggungan keluarga, masalah kesihatan yang kronik, keperluan penjagaan yang rapi, psikologi sosial, tahap ketidakupayaan ketua keluarga atau ahli keluarganya dan faktor-faktor lain yang munasabah serta boleh memberikan gambaran kedudukan kewangan dan perbelanjaan keluarga," jelas beliau.

Pada masa sama, JKM turut melaksanakan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan yang sedia ada. Usaha itu termasuk menerapkan aspek pendigitalan dalam pengurusan perkhidmatan bantuan kepada kumpulan sasar.

Maklumat lanjut mengenai bantuan JKM, boleh melayari https://www.jkm.gov.my atau menghubungi talian Kasih 15999 atau aplikasi WhatsApp 0192615999.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!