Pekerja p-hailing ditahan lakukan aksi ala 'Superman'
TEMERLOH - Tindakan seorang pekerja p-hailing melakukan aksi berbahaya ala 'Superman' berhampiran susur Lanchang, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di sini mengundang padah apabila ditahan polis pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan memberitahu, suspek iaitu seorang lelaki berumur 25 tahun ditahan di Petaling Jaya.
Menurutnya, tangkapan dibuat susulan penularan klip video rakaman memaparkan aksi sekumpulan penunggang motosikal di Facebook pada Rabu.
"Hasil siasatan awal mendapati video yang dipercayai rakaman kamera papan pemuka oleh orang awam menunjukkan sekumpulan penunggang motosikal melakukan aksi meniarap di atas kenderaan itu dan melunjurkan kaki ke belakang (Superman).
"Aksi perbuatan yang dilakukan itu bukan sahaja mengundang bahaya kemalangan kepada diri sendiri malah kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, permohonan reman dibuat pada Khamis terhadap suspek dan polis sedang mengenal pasti penunggang lain yang terlibat.
Jelasnya, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sebelum itu, seorang ahli perniagaan iaitu Eddy Ng, 45 memberitahu, telah memuat naik rakaman berdurasi kira-kira seminit menerusi gulungan di Facebook pada Ahad.
Jelasnya, rakaman itu dibuat kira-kira jam 5 petang ketika perjalanannya dari Kuala Lumpur ke Kuantan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!