Pemilu: 30 peratus pemilih di Malaysia dijangka keluar mengundi

Hermono Foto Bernama
Hermono Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono menjangkakan sekitar 30 peratus daripada 832,420 rakyat Indonesia yang menetap di Malaysia dan berdaftar sebagai pemilih akan menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024.

Beliau berkata, ia berdasarkan trend peratusan keluar mengundi yang ditunjukkan dalam beberapa Pemilu yang dijalankan sebelum ini.

"Sebelum ini ada turun naik sedikit tetapi di sekitar itu (30 peratus)," katanya kepada Bernama.

Hermono berkata, enam pusat pengundian akan dibuka pada Ahad ini bagi proses undi awal untuk pemilih berdaftar di Malaysia iaitu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur melibatkan 222,945 pemilih, Johor Bahru (2,684), Pulau Pinang (5,375), Kota Kinabalu (2,811), Tawau (20,247) dan Kuching (2,988).

Beliau berkata, pemilihan melalui peti undi bergerak turut dijalankan di komuniti penempatan warga Indonesia serta kilang dan ladang yang bermula 1 Februari lepas hingga Sabtu ini.

Beliau berkata, Panitia Pemilihan Luar Negeri (PPLN) Indonesia turut menjalankan pengundian secara pos yang dikirim ke alamat 156,367 pemilih di Malaysia pada 2 Jan lepas dengan kerjasama Pos Malaysia.

Hermono berkata, walaupun pelbagai kaedah digunakan untuk menggalakkan mereka menunaikan hak masing-masing namun peratusan keluar mengundi tidak begitu tinggi kerana ada dalam kalangan mereka yang tidak berniat untuk mengundi.

"Ada juga kemungkinan, dia tidak menerima surat undi atau tempat itu tidak ada peti undi bergerak (mobile voting) atau tidak tahu cara untuk mengundi.

Artikel Berkaitan:

"Kalau yang ada di kilang dan ladang, sambutannya baik kerana biasanya mereka tinggal di asrama pekerja (hostel), jadi participation rate mereka bagus. Tetapi di komuniti agak kurang kerana mungkin mereka keluar bekerja," katanya.

Hermono berkata, proses pengundian Pemilu di Malaysia sering mendapat perhatian di Indonesia kerana melibatkan jumlah pemilih luar negara terbesar.

Menurutnya, jumlah pemilih berdaftar di Malaysia itu adalah kira-kira 47.55 peratus daripada keseluruhan 1.75 juta pengundi dalam daftar pemilih luar negeri di seluruh dunia bagi Pemilu kali ini.

Bagi memastikan kelancaran proses pengundian di Kuala Lumpur, Hermono berkata seramai 1,500 petugas PPLN terlibat dalam menjalankan pilihan raya serta mendapat kerjasama baik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Wisma Putra.

"Terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana sehingga ke hari ini kami mendapat sokongan penuh untuk melaksanakan pilihan raya ini secara lancar dan aman," katanya, sambil berharap proses Pemilu di Malaysia terus berjalan lancar dengan tertib tanpa berlaku kejadian tidak diingini.

Kira-kira 240 juta rakyat Indonesia akan meraikan pesta demokrasi dalam Pemilu 2024 pada 14 Februari ini untuk memilih presiden, naib presiden, ahli Perhimpunan Perundingan Rakyat dan wakil untuk badan perundangan tempatan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!