Tempat parkir jadi transit seleweng minyak peket

KPDN menumpaskan kegiatan seleweng minyak masak menerusi serbuan di Klang, 1 Februari lalu.
KPDN menumpaskan kegiatan seleweng minyak masak menerusi serbuan di Klang, 1 Februari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kawasan parkir lori yang dijadikan tempat transit untuk kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi di Klang, dekat sini terbongkar, selepas diserbu pada 1 Februari lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairy Mat Radey berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Selangor dan KPDN Pahang kira-kira jam 11.20 malam.

Mohd Zuhairy (kanan) menunjukkan antara minyak masak paket yang dirampas KPDN dalam serbuan di Klang, 1 Februari lalu.
Mohd Zuhairy (kanan) menunjukkan antara minyak masak paket yang dirampas KPDN dalam serbuan di Klang, 1 Februari lalu.

Menurutnya, serbuan berjaya menahan seorang lelaki berusia lingkungan 60-an yang juga pemandu lori bonded dengan membawa muatan 6,800 peket minyak masak bersubsidi bersaiz 1 kilogram (kg) bernilai RM17,000.

"Siasatan mendapati premis ini disyaki menjalankan aktiviti memindahkan barang kawalan minyak masak peket 1 kg bersubsidi tanpa lesen sah.

"Dipercayai minyak masak ini untuk pasaran premis runcit atau restoran di sekitar Selangor," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat KPDN Selangor di sini pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti dalang termasuk pihak pembungkusan, pemborong mahu pun pembeli bagi kegiatan yang telah aktif sejak enam bulan lalu itu.

Kata Mohd Zuhairy, KPDN telah bertindak menyita lori terbabit selain dokumen perniagaan untuk siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1962, Seksyen 20(1) akta yang sama serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berlainan, Mohd Zuhairy berkata, KPDN Selangor turut berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) di sebuah premis di Bandar Rawang, Selangor, 29 Januari lalu.

"Operasi ini berjaya menahan tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40-an selain rampasan 307 tong gas kosong bersaiz 14kg dan 50kg bernilai RM41,911 selain sitaan dua lori, peralatan pemindahan gas LPG serta dokumen perniagaan," ujarnya.

Tegasnya, KPDN tidak akan berkompromi dengan sebarang penyelewengan barang subsidi dan masyarakat disaran salurkan maklumat untuk membanteras kegiatan ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!