Ahli perniagaan guna 'Datuk' palsu didakwa

Chee Seng dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas kesalahan menggunakan gelaran 'Datuk' palsu pada Khamis.
Chee Seng dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas kesalahan menggunakan gelaran 'Datuk' palsu pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas kesalahan menggunakan gelaran 'Datuk' palsu pada Khamis.

Tertuduh, Chan Chee Seng, 59, yang faham pertuduhan tersebut bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai seorang yang tidak berhak untuk menggunakan dan menikmati gelaran 'Datuk' dengan sengaja menggunakan gelaran tersebut pada afidavit sokongan yang dikemukakan kepada mahkamah dengan nombor kes AA-22NCvC-6-01/2022.

Kesalahan tersebut dilakukan di Mahkamah Tinggi Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini pada 17 Januari 2022.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 3(2) Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017 yang boleh dihukum dibawah seksyen 3(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun.

Pendakwaan yang dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun peguam tertuduh, SR Muniandy memohon jumlah jaminan minimum diberikan ke atas anak guamnya dengan alasan tertuduh menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Artikel Berkaitan:

Majistret S Punitha kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,200 dengan seorang penjamin dan sebutan semua kes ditetapkan pada 4 April depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!