Polis giat buru suspek samun berkumpulan kedai emas
SEPANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih giat memburu suspek kejadian samun berkumpulan menggunakan senjata api di sebuah kedai emas dalam pasar raya di Kota Warisan dekat sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit dan usaha memburu kesemua suspek masih digiatkan pada masa ini.
"Pihak polis masih giat menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini dan memburu empat suspek yang terlibat.
"Kita percaya suspek yang terlibat dalam kes rompakan bersenjata api ini membabitkan warga tempatan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kejadian samun berkumpulan menggunakan senjata api dipercayai pistol di sebuah pasar raya jam 8.14 malam.
Rompakan tersebut hanya mengambil masa dua minit sebelum suspek melarikan diri keluar melalui pintu belakang pasar raya dan terus menaiki kereta yang mana seorang lagi suspek telah sedia menunggu di dalam kereta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!