[VIDEO] Keluarga sewa bilik hotel terima bantuan bulanan asnaf RM1,000 - MAIDAM

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lima sekeluarga yang mendakwa terpaksa menyewa bilik hotel selepas dihalau dari rumah sewa di sini merupakan penerima bantuan bulanan bagi kategori asnaf fakir oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, keluarga berkenaan menerima bantuan bulanan sebanyak RM1,000 berdasarkan bilangan ahli keluarga yang ditanggung.

"Bantuan asas bagi ketua keluarga yang diterima sebanyak RM500, tambahan lagi RM500 adalah berdasarkan bilangan tanggungan ahli keluarga di mana isteri mendapat RM100 dan RM400 lagi untuk empat anak mereka.

"Bantuan ini masih diberikan secara bulanan kepada keluarga ini sehingga sekarang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Ahmad Azrin. Laporan Sinar Harian
Ahmad Azrin. Laporan Sinar Harian

Dalam pada itu, Ahmad Azrin turut menjelaskan mengenai bantuan sewa rumah MAIDAM yang didakwa telah dihentikan.

Menurutnya, keluarga berkenaan tidak termasuk dalam kalangan penerima bantuan sewa rumah MAIDAM kerana telah menerima bantuan bulanan yang diberikan itu.

"Apabila seseorang itu telah menerima bantuan bulanan, MAIDAM sudah tidak memberi bantuan sewa rumah.

Artikel Berkaitan:

"Bukan semua asnaf dapat bantuan bulanan. Ertinya, tidak timbul isu tiada bantuan kewangan kepada keluarga ini. Isu yang ketara adalah kelemahan mengurus kewangan," jelas beliau.

Beliau berkata, MAIDAM juga telah melakukan pemutihan ke atas penerima bantuan sewa rumah pada hujung tahun lalu.

"Hujung tahun lepas, semasa proses pemutihan di taman perumahan asnaf, ada asnaf yang didapati telah memberi sewa rumahnya kepada orang lain.

"Apabila siasatan lanjut dijalankan, kita dapati asnaf berkenaan sudah terkeluar dari status asnaf miskin atas beberapa faktor yang telah dikenal pasti," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan lima sekeluarga mendakwa terpaksa menyewa bilik hotel kerana tiada tempat tinggal selepas dihalau dari rumah sewa di Kampung Surau Haji Daud, di sini pada Oktober tahun lalu.

Izawati Hussain, 42, berkata, dia bersama suami, Aziz Mamat, 48 dan tiga anaknya menyewa bilik hotel di pusat bandar di sini dengan bayaran RM70 sehari sejak empat bulan lepas, sementara seorang lagi anak lelakinya tinggal bersama keluarga mentua di Kampung Paya Resak, di sini.

Menurutnya, mereka terpaksa menyewa bilik hotel berkenaan kerana tidak menemui rumah sewa yang sesuai di samping tidak mampu membayar deposit rumah serta sewa bulanan yang tinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!