Majikan tipu pekerja asing setuju bayar gaji lebih RM1 juta

Ratusan warga asing Bangladesh dikesan berjalan kaki di kawasan hadapan simpang masuk, Teluk Ramunia Bayu Damai, di sini dan mendakwa mereka hendak ke Balai Polis Bayu Damai untuk membuat laporan polis kerana ejen tidak memberikan mereka pekerjaan.
Ratusan warga asing Bangladesh dikesan berjalan kaki di kawasan hadapan simpang masuk, Teluk Ramunia Bayu Damai, di sini dan mendakwa mereka hendak ke Balai Polis Bayu Damai untuk membuat laporan polis kerana ejen tidak memberikan mereka pekerjaan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Majikan yang didakwa melakukan penipuan terhadap pekerja asing di Pengerang, Johor baru-baru ini bersetuju membayar gaji RM1,035,557.50 kepada 733 pekerja terlibat.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi kenyataan memaklumkan, perkara itu dicapai secara bersama antara majikan dan pekerja menerusi prosiding tuntutan buruh asing itu pada Isnin lalu.

"Kementerian menegaskan bahawa pekerja yang dibawa masuk dan tidak diberikan pekerjaan masih menjadi tanggungjawab majikan untuk membayar gaji pekerja sepertimana yang ditegaskan oleh Menteri Sumber Manusia pada 16 Januari lalu," katanya pada Khamis.

Ujar kementerian itu, pihak syarikat juga akan menempatkan pekerja-pekerja tersebut kepada majikan baharu melalui Proses Pertukaran Majikan (PTM) Khas yang akan dibantu oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

"Kejayaan prosiding ini menjadi satu ‘landmark case’ yang akan menjadi rujukan dalam kes buruh selepas ini kerana ia melibatkan pekerja asing yang dibawa masuk secara sah tetapi diabaikan dan tidak diberikan pekerjaan sebaik tiba ke negara ini," kata KSM.

Menurutnya, majikan yang didapati bersalah akan disenarai hitam oleh pihak berkuasa dan baki kuota pekerja asing akan dibatalkan.

"KSM tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar perundangan perburuhan dan akan sentiasa memastikan kebajikan pekerja sentiasa terjamin," jelas kementerian itu.

Terdahulu KSM memaklumkan tuntutan tersebut melibatkan bayaran gaji yang belum dibayar sejak pekerja dibawa masuk ke dalam negara dan mereka juga tidak diberi pekerjaan seperti dijanjikan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mendedahkan dianggarkan 2,500 pekerja asing yang ditipu syarikat serta ejen pekerjaan kini berada di Pengerang.

Ia susulan laporan media mengenai ratusan warga Bangladesh yang berjalan kaki beramai-ramai di Pengerang selepas didakwa ditipu ejen pekerjaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!