300,000 kenderaan guna Latar sempena Tahun Baharu Cina
KUALA SELANGOR - Sebanyak 300,000 kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) berikutan pengecualian bayaran tol bagi sambutan Tahun Baharu Cina bermula pada Khamis.
Ketua Pegawai Operasinya, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi berkata, jumlah kenderaan itu mengalami peningkatan sehingga 30 peratus berbanding hari biasa.
Menurut beliau, semua pengguna lebuh raya itu menikmati tol percuma sepanjang 33 kilometer laluan bermula dari Templer Park ke Ijok.
"Latar sememangnya bersiap sedia menerima jumlah kenderaan yang meningkat sepanjang cuti perayaan ini," katanya ketika ditemui pada Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Ijok pada Khamis.
Ahmad Fuad memberitahu, pihaknya turut menempatkan petugas peronda jalan raya bersiap-siaga selama 24 jam di lebuh raya berkenaan.
Jelas beliau, pasukan itu ditugaskan bagi memastikan kelancaran trafik dan bantuan kerosakan kenderaan atau kemalangan.
"Pengguna dinasihatkan memandu secara berhemah dan berwaspada terutama ketika peningkatan jumlah kenderaan," jelas beliau.
Pada Rabu, kerajaan menerusi hasil persetujuan mesyuarat Jemaah Menteri mengumumkan pengguna lebuh raya melibatkan kenderaan persendirian akan menikmati pengecualian bayaran tol selama dua hari.
Pemberian tol percuma sehingga tengah malam Sabtu itu dilaksanakan di semua lebuh raya melibatkan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM42.99 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!