Bekas kontraktor diperintah bela diri tuduhan bunuh isteri

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan seorang bekas kontraktor untuk membela diri atas pertuduhan membunuh isterinya, tiga tahun lalu. Gambar hiasan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan seorang bekas kontraktor untuk membela diri atas pertuduhan membunuh isterinya, tiga tahun lalu. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis memerintahkan seorang bekas kontraktor untuk membela diri atas pertuduhan membunuh isterinya, dengan cara menekup mangsa menggunakan selimut di kediaman mereka, tiga tahun lalu.

Hakim K Muniandy memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Chuah Chin Hoe, 50, di akhir kes pendakwaan.

Pada akhir kes pendakwaan, dengan bukti yang dikemukakan kepada mahkamah ini secara menyeluruh dan diberikan penilaian maksimum, kesimpulan dibuat bahawa tertuduh orang terakhir bersama isterinya yang telah meninggal dunia di dalam bilik mereka pada malam sebelumnya dan pada pagi selepas dia ditemukan meninggal.

"Dalam rantaian situasi yang dikemukakan oleh pendakwaan untuk membuktikan dakwaan terhadap tertuduh, keadaan ini merupakan yang paling kuat. Ia merupakan pertimbangan material sebagai keadaan terhadap tertuduh,” kata hakim sambil menambah bahawa ini memerlukan penjelasan dari pihak tertuduh.

"Oleh itu, mahkamah ini memutuskan untuk memerintahkan tertuduh untuk mempertahankan dirinya terhadap tuduhan yang dikenakan ke atasnya, selaras dengan Seksyen 180(3) Kanun Prosedur Jenayah," katanya.

Selepas keputusan diumumkan, peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili tertuduh berkata, anak guamnya memilih untuk memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi.

Hakim Muniandy kemudian menetapkan prosiding membela diri selama dua hari iaitu pada 24 dan 25 April ini.

Mengikut pertuduhan, Chin Hoe didakwa telah membunuh Lau Bee Hong yang ketika kejadian berusia 46 tahun di sebuah unit kondominium di Jalan Genting Klang, Setapak, di sini antara 2.30 pagi dan 9.30 pagi, 9 Mei 2021 dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Seramai 17 orang saksi pendakwaan termasuk dua anak pasangan itu, telah dipanggil memberi keterangan sejak hari pertama perbicaraan yang bermula pada 11 Oktober 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zaileen Nadia Zubir, manakala tertuduh turut diwakili peguam Lavinia Raja dan Revin Kumar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!