Kampung Baru Cina: Tak cabar kepentingan orang Melayu, bumiputera - Kor Ming
PUTRAJAYA - Tuduhan mengaitkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dan Kerajaan Perpaduan mencabar kepentingan orang Melayu dan bumiputera diibaratkan rantai besi dimakan bubuk.
Sambil menyifatkan ia satu tuduhan tidak masuk akal dan tidak benar, Kor Ming berkata, banyak inisiatif mesra rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa telah dilaksanakan oleh KPKT sepanjang tahun lalu.
"Sebagai contoh, kementerian melalui Bahagian Kesejahteraan Komuniti (BKK) telah memperuntukkan RM42 juta untuk membina rumah baharu atau membaik pulih 2016 buah rumah untuk golongan miskin dan miskin tegar di bandar," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Ujar beliau, kementerian juga telah memperuntukkan RM50 juta untuk kerja-kerja menyelenggara dan membaikpulih rumah-rumah ibadat bukan Islam.
"Tambahan pula, KPKT melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah menambah baik 400 kuarters bomba di seluruh negara dengan peruntukan RM50 juta dan banyak lagi," katanya.
Menurut Kor Ming, cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) adalah bukan zero sum game.
Sebaliknya ujar beliau, kementerian tetap mendukung prinsip Malaysia Madani yang menekankan enam nilai penting menjadi tonggak dalam hala tuju Malaysia sebagai sebuah negara bangsa maju dan sejahtera.
"Saya telah banyak kali menekankan bahawa falsafah kepimpinan KPKT adalah berlandaskan Rukun Negara dan berazam serta berhasrat untuk melaksanakannya apa yang disebut," katanya.
Zero sum game bermaksud satu pihak mendapat keuntungan dan pihak yang lain pula rugi atau kalah.
Sebelum ini Kor Ming dilaporkan berkata, cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!