Titik berat istito’ah kesihatan

Dr Mohammad Faid Abdul Rashid
Dr Mohammad Faid Abdul Rashid
A
A
A

MENUNAIKAN ibadat di Tanah Suci bukan sahaja perlu berkemampuan dari segi kewangan, malah kesihatan juga sangat penting. Justeru, istito’ah kesihatan perlu dititikberatkan bagi memastikan jemaah haji Malaysia sentiasa berada dalam keadaan sihat sepanjang berada di Makkah untuk beribadat.

Ikuti wawancara Wartawan Sinar Harian, SARINAH MAT KASIM bersama Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr Mohammad Faid Abdul Rashid yang menjelaskan mengenai penjagaan kesihatan jemaah haji di Tanah Suci.

Boleh ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang dan pengalaman doktor bergelar pengamal perubatan?

DR MOHAMMAD FAID: Saya berkecimpung dalam bidang perubatan selama lebih 25 tahun bermula pada 1994 di sebuah hospital di Ipoh, Perak. Saya kemudiannya melanjutkan pengajian pada peringkat Sarjana Kesihatan Awam dan menjadi pakar kesihatan awam pada 1999 sebelum ditugaskan di Negeri Sembilan sehingga hari ini.

Sejak bilakah doktor mula berkhidmat bersama pasukan perubatan Tabung Haji (TH)?

DR MOHAMMAD FAID: Pada 2001, saya diberi peluang untuk bertugas bersama rombongan perubatan TH sebagai pegawai perubatan di maktab (klinik) di Makkah. Selama tiga tahun berturut-turut saya bersama mereka. Pada 2003, saya menjadi Pengarah Operasi Perubatan di Makkah dan kemudian dilantik sebagai ketua rombongan perubatan haji sebanyak lima kali sehingga 2019. Alhamdulillah, TH banyak memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat merawat jemaah di Tanah Suci.

Apakah fasiliti yang disediakan oleh pasukan perubatan TH ketika berada di Tanah Suci dan berapa ramai pesakit yang mendapatkan perkhidmatan perubatan di sana?

DR MOHAMMAD FAID: TH mempunyai satu pusat rawatan utama iaitu Pusat Rawatan TH Syisyah di Makkah, sebuah klinik kecemasan di Abraj Janadriyah dan Pusat Rawatan TH Al Jaffery di Madinah, selain klinik kesihatan di setiap maktab penginapan jemaah.

Artikel Berkaitan:

Kita mempunyai sebanyak 267 katil di tiga hospital ini dengan kekuatan seramai 264 petugas perubatan bersama 60 doktor termasuk 23 doktor pakar dan lain-lain jawatan perubatan.

Pada tahun lalu, kita menerima seramai 70,000 jemaah yang mendapatkan rawatan di hospital kita walaupun jumlah jemaah Malaysia hanya 32,000 orang kerana ada jemaah dari negara lain mendapatkan rawatan dengan kita.

Perkhidmatan Kesihatan Malaysia adalah salah satu perkhidmatan yang terbaik diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi. Kita pernah menerima seramai 200 pesakit dalam sehari terutama ketika hampir waktu wukuf. Ini kerana semakin lama jemaah kita berada di Tanah Suci, mereka akan lebih terdedah dengan jangkitan kuman yang mudah dijangkiti. Kebiasaannya 60 peratus pesakit luar yang datang adalah disebabkan jangkitan saluran pernafasan.

Adakah TH mempunyai solusi untuk menangani jemaah yang tidak berupaya melakukan ibadat?

DR MOHAMMAD FAID: Bagi jemaah yang uzur atau sakit ketika berada di Tanah Suci, selalunya kita akan membantu mereka melakukan ibadat, selain memberikan rawatan di hospital TH. Malah, di hospital TH sendiri kita ada program khas bagi mereka yang tidak berupaya melakukan ibadat iaitu melalui Safari Wukuf yang mana pada 9 Zulhijah, kita akan membawa mereka menaiki bas khas atau bas ambulans untuk membolehkan mereka melakukan wukuf seketika.

Sekitar jam 11.30 pagi, kita akan lalu di Arafah dan menunggu mereka sehingga waktu wukuf dan tergelincir matahari. Kemudian kita akan membawa mereka balik semula ke hospital.

Pada tahun lalu, kita bawa seramai 119 pesakit jemaah haji mengikuti Safari Wukuf. Oleh sebab itulah, kita sangat menitikberatkan kemampuan fizikal supaya setibanya di Tanah Suci, jemaah dapat menunaikan ibadat mereka dengan lancar.

Tahun lalu kita mempunyai seorang jemaah haji yang merupakan pesakit kanser pundi kencing dan sebaik sahaja kita tahu mengenai keadaannya, kita berikan rawatan awal di hospital TH.

Kita uruskan ibadatnya dan kemudian menghantarnya pulang lebih awal bagi membolehkan dia mendapat haji yang mabrur. Meskipun TH ada menyediakan perkhidmatan perubatan di Tanah Suci, jemaah sendiri perlu mengutamakan penjagaan kesihatan mereka dengan lebih teliti bagi memastikan tahap kesihatan sentiasa baik, sekali gus aktiviti beribadat tidak terganggu.

Istito’ah kesihatan nampaknya sangat penting kepada jemaah haji. Walaupun ada kemampuan kewangan tetapi dari segi kesihatan ada dalam kalangan mereka tidak mampu, namun tetap mahu menunaikan ibadah haji. Apakah komen doktor?

DR MOHAMMAD FAID: Istito’ah itu bermaksud kemampuan. Mengikut syarat wajib menunaikan haji atau umrah hanya kepada mereka yang berkemampuan. Berkemampuan itu bukan hanya kewangan tetapi fizikal dan sihat tubuh badan serta berakal juga sebahagian daripada istito’ah.

Justeru, pada pendapat saya, jika seseorang itu mampu dari segi kewangan tetapi lemah kesihatan fizikal, jadi tidak wajib ke atasnya untuk menunaikan haji atau umrah. Penting untuk kita melakukan pemeriksaan kesihatan bagi menentukan sama ada mereka ini layak atau sebaliknya. Walaupun ada duit tetapi kesihatan tidak mengizinkan, sukar untuk mereka lakukan ibadat di Tanah Suci nanti.

Jemaah haji perlu mengutamakan penjagaan kesihatan diri bagi memastikan tahap kesihatan mereka sentiasa baik, sekali gus aktiviti beribadat tidak terganggu.
Jemaah haji perlu mengutamakan penjagaan kesihatan diri bagi memastikan tahap kesihatan mereka sentiasa baik, sekali gus aktiviti beribadat tidak terganggu.

Apakah harapan doktor kepada bakal jemaah haji?

DR MOHAMMAD FAID: Sebelum ke Tanah Suci, jemaah perlu ambil serius terhadap persiapan fizikal terutama melakukan senaman setiap hari.

Kedua, persiapan mental juga perlu dilakukan dengan rapi. Pengalaman saya, ada jemaah yang masih lagi teringat lembu kambing di tanah air atau kampung kerana mereka belum dapat menyesuaikan diri dengan sua-sana di Tanah Suci. Ada yang masih teringat-ingat kampung halaman mereka sehingga terganggu ibadat, sebab itulah persiapan mental harus dibuat lebih awal.

Bagi yang merokok, saya nasihatkan supaya berhenti merokok dan sentiasa amalkan gaya hidup sihat serta menjaga kebersihan diri. Mereka yang merokok akan lebih terdedah dengan jangkitan paru-paru.

Minum banyak air dan kalau ada tanda-tanda penyakit seperti demam berpanjangan, jumpa doktor dengan segera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!