Rasulullah SAW cela golongan suka dedah aib, dosa sendiri – Ustazah Asma’ Harun

RASULULLAH SAW mencela golongan yang suka mendedahkan aib dan dosa sendiri kepada orang lain. - Gambar Hiasan. Foto Pexels
RASULULLAH SAW mencela golongan yang suka mendedahkan aib dan dosa sendiri kepada orang lain. - Gambar Hiasan. Foto Pexels
A
A
A

UMAT Islam diingatkan agar tidak meceritakan keaiban sendiri kepada khalayak ramai kerana perbuatan tersebut dicela Rasulullah SAW.

Pendakwah, Ustazah Asma’ Harun berkata, Rasulullah SAW menyebut golongan yang suka mendedahkan dosa dan aib mereka sendiri sebagai Al-Mujahirin berdasarkan satu hadis sahih yang diriwayatkan Imam Al-Bukhari.

“Nabi (Muhammad) SAW menyebut golongan ini sebagai golongan al-Mujahirin dan Baginda mencela mereka.

“Dahulu, jika ada kesalahan atau dosa yang dilakukan, sebolehnya kita tidak mahu ia diketahui orang, malu jika keaiban terbongkar. Namun hari ini, individu yang terlibat dengan maksiat dijulang dan diangkat ke hadapan,” katanya melalui hantaran di Facebook miliknya.

USTAZAH ASMA' HARUN
USTAZAH ASMA' HARUN

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu sebuah program podcast yang menjemput seorang lelaki yang dikaitkan dengan perkhidmatan persundalan.

“Walaupun (kandungan) podcast tersebut dikatakan telah dihapuskan daripada media sosial, namun impaknya besar kepada masyarakat.

“Atas apa jua alasan, sama ada ingin kandungan menjadi tular dan ditonton oleh jutaan orang, jangan menjadikan individu yang membawa pengaruh buruk sebagai ikon. Apatah lagi jika menormalisasikan aktiviti zina,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menasihatkan orang ramai agar menjadi pempengaruh yang benar-benar bertanggungjawab menyampaikan mesej positif kepada masyarakat.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberi peringatan kepada semua pempengaruh bahawa kerajaan belum berhasrat untuk mengenakan kawal selia terhadap kandungan yang disediakan.

Menurutnya, tindakan akan diambil jika berlaku keterlanjuran adab dan batasan.

Sebelum ini, sekeping gambar hot daddy dipercayai dijemput ke sebuah program podcast sehingga menimbulkan bantahan dalam kalangan umat Islam.

Perkara itu mendapat teguran Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor dengan menyuarakan kebimbangan sekiranya tindakan itu akan mempengaruhi remaja dan membawa mereka ke jurang keruntuhan akhlak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!