'Hanya sebelah badan mangsa ditemui dalam mulut buaya'
KINABATANGAN - Mangsa yang dilaporkan hilang di sungai pada Rabu, akhirnya ditemukan dalam mulut buaya di Sungai Koyah berhampiran sebuah ladang di Kampung Paris 2, di sini pada Khamis.
Mayat Roberto Martinus, 48, bagaimanapun hanya berjaya dilepaskan dari mulut buaya selepas pihak berkuasa menembak haiwan tersebut pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah berkata, mangsa ditemui pada jam 5.45 petang iaitu kira-kira tiga kilometer dari dia dilaporkan hilang.
"Mayat mangsa dilihat ada pada mulut buaya tersebut dan usaha melepaskan tubuh badan mangsa dilakukan dengan bantuan pihak berkuasa termasuk pasukan polis dan Jabatan Hidupan Liar (JHL).
"Polis bertindak menembak buaya tersebut dengan 12 tembakan sehingga haiwan itu melepaskan mangsa yang masih berada dalam mulutnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diambil namun dalam keadaan tidak sempurna.
"Setakat ini hanya anggota badan sebelah kiri mangsa dijumpai," katanya.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan mangsa dilaporkan hilang dikhuatiri dibaham buaya di sungai tersebut.
Pasukan bomba juga mengesahkan terdapat kesan tapak kaki buaya pada tebing sungai tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!