Hotel terbiar 'port' warga asing langgan pelacur digempur
KUALA LUMPUR - Sebuah hotel terbiar yang menjadi sarang pelacuran di Pudu diserbu polis dalam Op Noda, pada Khamis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya menahan 263 individu dalam operasi itu yang bermula pada jam 6 petang.
"Kita telah menahan seramai 229 lelaki dan 34 wanita terdiri daripada warga tempatan serta warga asing dari Bangladesh, Nepal, Pakistan, Myanmar, Indonesia, India, Vietnam, China dan Thailand.
"Bagi tangkapan wanita, seramai 20 orang daripadanya yang ditahan berusia antara 20-an hingga 40-an disyaki terbabit dalam aktiviti persundalan," katanya ketika ditemui pada sidang media di lokasi serbuan di sini pada Khamis.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Datuk Habibi Manjiji.
Allaudeen berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki yang tidak memberikan kerjasama ketika serbuan dan menghalang pihak polis menjalankan tugas.
"Kita turut menjalankan pemeriksaan terhadap 14 kanak-kanak dalam operasi itu," ujarnya.
Beliau berkata, kebanyakan lelaki tempatan yang ditahan dalam serbuan itu disyaki pelanggan kepada pelacur yang tinggal di hotel berkenaan.
"Bagi lelaki warga asing pula, sebahagian mereka (yang ditahan) adalah penghuni, manakala selebihnya adalah pelanggan (pelacur),” katanya.
Allaudeen berkata, keadaan hotel itu yang terbiar menyebabkan ia dijadikan sebagai lokasi aktiviti pelacuran selain disewa kepada warga asing.
"Aktiviti pelacuran dan kehadiran pendatang asing tanpa izin tertumpu di lokasi ini mungkin disebabkan bangunan yang sudah lama tidak beroperasi dan dibiarkan kosong," katanya.
Beliau berkata, pihaknya kerap menjalankan serbuan di lokasi terbabit yang dikatakan aktif dengan kegiatan pelacuran.
"Pada hari ini, lokasi ini digempur bagi membersihkan kawasan ini daripada aktiviti pelacuran,” katanya.
Menurutnya, kesemua individu yang ditahan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.
"Mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti pelacuran dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
"Selain itu, mereka juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi warga asing dan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi mereka yang positif dadah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!