Wanita Thailand cuak kereta 'tersadai' sebab GPS, Google Maps
BANGKOK – Lagi kisah wanita 'salah jalan' gara-gara Sistem Pengesanan Global (GPS). Kali ini, kisah seorang wanita yang mahu pergi ke sebuah kedai kopi di Phetchabun, Thailand.
Menurut laporan berita The Thaiger, wanita tersebut menuju ke kedai kopi itu di kawasan berbukit Khao Kho dengan berpandukan Google Maps.
Namun, dia terpaksa menempuhi perjalanan berbahaya apabila GPS 'membawa' kereta dipandunya melalui kawasan lasak dengan jalan tidak berturap.
Lebih mencemaskan wanita terbabit, kereta baharunya itu 'tersadai' di laluan curam di tengah-tengah kawasan berbukit.
Berdasarkan satu rakaman video di platform TikTok, wanita itu tampak buntu dengan situasi yang dihadapi apabila kenderaannya tidak dapat bergerak.
Dia kemudiannya meminta bantuan daripada penduduk di kawasan berhampiran sebelum sebuah kenderaan pacuan empat roda tiba dan 'menyelamatkannya'.
Minggu lalu, insiden hampir sama turut berlaku di Thailand apabila seorang wanita berdepan detik cemas selepas kereta dipandunya 'tersangkut' di jambatan gantung gara-gara mengikuti arah jalan menerusi GPS.
Kereta yang dipandu wanita berkenaan 'tersangkut' di atas jambatan sepanjang 120 meter (m) itu ketika dia cuba merentasi Sungai Yom di Wiang Thong. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!