Dicemuh kerana bawa jajan untuk potluck sekolah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SETIAP kali minggu terakhir penggal persekolahan, kebanyakan sekolah akan menganjurkan potluck atau jamuan akhir tahun. Maka ibu bapa pun sibuklah berdiskusi dan membuat senarai panjang dalam aplikasi WhatsApp kelas, juadah yang akan dibawa anak-anak mereka.

Kalau ada seorang sahaja anak yang bersekolah, mungkin ibu bapa mereka mampu membawa makanan istimewa seperti nasi ayam, nasi goreng, mi goreng atau spageti bolognese.

Tapi bagaimana bagi mereka yang mempunyai tiga anak di kelas yang berlainan? Keluhan itu yang Merak Jalanan dengar daripada seorang kawan. Pening kepala dia memikirkannya.

Jadi, untuk menjimatkan kos, kawan Merak Jalanan ini mengambil keputusan membawa beberapa bungkus makanan ringan atau jajan seperti keropok yang dibelinya di kedai ‘dua ringgit’.

Kemudian dia membahagikan sama rata kepada tiga anaknya. Kesemua anaknya teruja, malah tidak sabar untuk berkongsi makanan ringan itu dengan kawan-kawasan sekolah.

Malangnya, tindakan kawan Merak Jalanan itu menjadi buah mulut sebilangan ibu bapa lain.

Mereka meminta kawan Merak Jalanan itu menukar hidangan lain dengan alasan, jajan tidak sihat untuk kesihatan budak-budak.

“Sedih juga, tapi apa boleh buat. Itu saja yang aku mampu sebab anak ramai,” adunya kepada Merak Jalanan.

Artikel Berkaitan:

Mujurlah guru kelas memainkan peranan menenangkan ibu bapa dan membenarkan anak-anak membawa apa sahaja yang mereka mampu.

“Kalau anak tuan tuan tidak boleh makan jajan, pesan dengan mereka pilihlah makanan lain nanti ya,” lembut saja cara cikgu itu berdiplomasi.

Merak Jalanan setuju makanan ringan mungkin kurang khasiat, namun bukan satu kesalahan sekiranya dibawa sebagai hidangan sampingan. Apa salahnya raikan perbezaan.

Dari situ juga kita boleh mengajar anak-anak kita bahawa tidak semua orang di dunia ini senang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!