Mapim gariskan enam tindakan kepada kerajaan
ALOR SETAR - Malaysia telah melalui perubahan besar dalam sektor ekonomi dan politik, namun urus tadbir negara berkaitan dua aspek itu sering berdepan konflik kepartian yang melelahkan.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sehubungan itu, pihaknya menggariskan enam tindakan yang wajar diberikan tumpuan oleh kerajaan sepanjang tahun 2020.
Menurutnya, negara perlu mempunyai pendirian tegas untuk menjuarai isu keamanan dan kemanusiaan rantau dalam mempertingkatkan peranan membantu menyelesaikan konflik seperti isu Rohingya, Uyghur dan Kashmir.
“Isu pembebasan Palestin juga perlu diangkat dengan lebih jelas. Malaysia perlu gunakan pendekatan strategik untuk berperanan dalam pelbagai forum antarabangsa bagi menyelesaikan konflik dunia,” katanya.
Mohd Azmi berkata, resolusi dari inisiatif Persidangan Kemuncak KL 2019 juga harus diterjemahkan segera.
“Negara-negara yang bersetuju dengan pendekatan Malaysia perlu diakrabkan untuk memulakan inisiatif yang lebih dinamik dan progresif dalam pelbagai isu antarabangsa, selain mengukuhkan ekonomi mandiri antara negara,” katanya.
Menurutnya, selain itu Dasar Ekonomi Malaysia yang mapan perlu diberikan tumpuan, selain konsep pembangunan yang mengekspolitasi sumber alam secara tidak mapan perlu dihentikan.
“Perang perdagangan dan persaingan sengit antara kuasa besar memerlukan Malaysia mengambil inisiatif untuk mengalih dari sistem kewangan yang terikat kepada USD dan Euro. Malaysia juga perlu mengelakkan diri dari sebarang perjanjian yang menjejaskan polisi untuk menjaga kepentingan negara,” katanya.
Mohd Azmi berkata, isu pemeliharaan kualiti alam sekitar perlu dijadikan agenda utama dalam pembangunan negara, di mana sepanjang dua dekad ini, Malaysia mengalami krisis alam sekitar yang serius.
“Malaysia perlu berperanan dalam isu perubahan cuaca demi kesejahteraan alam dan generasi akan datang serta mengambil inisiatif dalam isu kritikal seperti guna tenaga, carbon footprint, guna sumber air, keseimbangan ekologi dan memelihara kepelbagaian bio,” katanya.
Menurutnya, perpaduan nasional juga harus disegarkan semula antara kaum dalam negara.
“Hubungan antara kaum sekaligus menjunjung perlembagaan negara perlu diperkukuhkan. Sensitiviti agama dan kepentingan antara kaum perlu dipelihara berdasarkan lunas Rukun Negara yang disepakati,” katanya.
Mohd Azmi berkata, aspek ke-enam adalah isu bahasa dan budaya kebangsaan dalam pembangunan perlu disegarkan semula.
“Penegasan penggunaan bahasa kebangsaan dan menterjemahkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan hendaklah disegarkan semula. Meningkatkan kualiti pendidikan berasaskan nilai dan bina karaktor serta membina potensi setiap pelajar perlu digubal segera,” katanya.
Menurutnya, perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memberi harapan baharu kepada rakyat, namun rakyat dambakan kerajaan yang menumpu kepada sistem penyampaian efisien, berintegriti serta amanah dalam pelbagai sektor pembangunan.
“Pergantungan negara kepada tenaga luar kian meruncing selain reformasi pembinaan sumber manusia masih belum cukup memenuhi tahap sewajarnya. Kami harap 2020 dijadikan lonjakan untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) meningkatkan usaha mengurus krisis kemanusiaan dunia,” katanya.
Mohd Azmi berkata, diharap negara memberi lebih tumpuan dalam aspek keamanan dan kemanusiaan, susulan sepanjang dua dekad lalu, dunia menyaksikan kemelut kronik dalam dua aspek terbabit.
“Trilion dolar disalur untuk menangani ketegangan dan krisis kemanusiaan dunia. Malangnya ada pihak meraih keuntungan daripada krisis yang dicetuskan. Genosid, penghapusan etnik, penafian hak, jenayah perang, polisi aparteid, keganasan atas hak manusia, undang-undang draconian; semua ini memuncak hingga memangsakan jutaan rakyat,” katanya.
Menurutnya, akibatnya jutaan manusia alami kebuluran, hilang tempat tinggal, menjadi pelarian, terputus bekalan makanan, air bersih serta ubatan.
“Politik antarabangsa dan politik rantau menjadi tegang sehingga keamanan dan kemanusiaan digadaikan. Ketegangan sehingga membawa kepada peperangan menghancurkan beberapa negara di Asia Barat, benua Afrika serta Latin Amerika,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!