Syaaban, bulan mulia ini jangan dilalaikan
Usah terlalu sibuk buat persiapan material hadapi Ramadan dan Syawal hingga abaikan bulan kelapan dalam Islam itu
SEBULAN lagi memasuki Ramadan, kebanyakan kita sibuk untuk membuat persiapan menyambut kedatangan bulan mulia itu dan juga Syawal.
Katalah apa sahaja - barang dapur, perabot, langsir, baju raya dan lain-lain, semuanya hampir lengkap.
Itu belum lagi bab makan. Sebelum bulan puasa tiba, terdapat segelintir orang sibuk mencari tempat makan menarik dan menyelerakan demi memenuhi nafsu masing-masing.
Di sebalik keributan kita melayani semua itu, ada sesuatu perkara penting yang ramai terlupa. Kita masih ada lagi bulan Syaaban yang bakal menjengah pada Ahad ini.
Sepertimana bulan-bulan Islam yang lain, Syaaban sebenarnya mempunyai keistimewaan tersendiri yang tidak wajar dilupakan. Ia sehinggakan terdapat sebuah hadis masyhur memerihalkan tentang kelalaian yang berlaku ketika bulan Syaaban.
Mengapa bulan kelapan dalam Islam itu seperti dilupakan? Apakah kelebihan yang ada pada bulan berkenaan?
Faktor kelalaian
Sinar Islam menemu bual Pensyarah Pengajian Islam, Pusat Pengajian Asasi, Management & Science University (MSU), Ustaz Mohd Herzali Muhammad Haled mengajak beliau berbicara lanjut tentangnya.
Jelas beliau, antara faktor ramai manusia lalai pada Syaaban kerana bulan tersebut diapit oleh dua bulan mulia iaitu Rejab dan Ramadan.
Setelah banyak berpuasa sunat atau ganti pada bulan Rejab, ramai orang akan mulai sibuk membuat persiapan material menyambut ketibaan Ramadan.
“Akhirnya, aspek mengerjakan ibadah sunnah sebagaimana puasa diabaikan. Inilah antara kebiasaan yang berlaku di negara kita apabila sebahagian umat Islam menganggap, saat itu merupakan detik terbaik untuk mereka membeli-belah barangan keperluan bulan Ramadan mahupun Syawal.
“Lebih menyedihkan, ada yang menganggap Syaaban adalah waktu untuk mereka memuaskan nafsu makan dan berbuat maksiat sebelum tibanya Ramadan,“ katanya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Kelalaian pada bulan Syaaban bukanlah suatu fenomena baru, tetapi ahli akademik itu menjelaskan, situasi sama turut berlaku sejak zaman Nabi Muhammad SAW.
Ujar Mohd Herzali, pensyariatan kefarduan puasa Ramadan sebagaimana yang dijelaskan menerusi ayat 183, Surah al-Baqarah juga berlaku pada bulan Syaaban tahun kedua Hijrah.
“Lazimnya, Ramadan menjadi waktu bagi umat Islam meningkatkan amalan soleh, membangunkan ketaatan kepada ALLAH SWT dan menghindari maksiat serta bertaubat bersungguh-sungguh kepada ALLAH SWT.
“Semuanya bertujuan mendekatkan diri kepada-NYA dengan harapan setiap amalan diterima oleh-NYA.“
“Pun begitu, tidak semua orang yang sampai ke bulan Ramadan dalam keadaan meningkat ketakwaan mereka dan terdorong untuk menambah ketaatan kepada Sang Pencipta. Ia terjadi kerana ibadah puasa yang dikerjakan tidak dilakukan secara serius dan bersungguh-sungguh,“ terangnya panjang lebar.
Koreksi dan introspeksi
Daripada Usamah bin Zaid RA, beliau berkata: “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat kamu berpuasa dalam satu bulan sebagaimana kamu berpuasa di dalam bulan Syaaban. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Rab al-‘Alamin (ALLAH SWT), maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.“ (Hadis Riwayat An-Nasa‘i)
Melihat ungkapan hadis itu, jelas Mohd Herzali, bagi kelompok beriman, mereka mengerti dan tidak bertangguh untuk memperbanyakkan amalan soleh supaya ia dinilaikan sebagai satu bentuk ibadah oleh ALLAH SWT.
Ia termasuklah memperbanyakkan puasa sunat pada bulan Syaaban yang boleh menjadi sebahagian asbab terselamatnya daripada kemurkaan ALLAH SWT.
Mengulas tentang sikap segelintir Muslim yang suka mengecam dan memerli individu yang tidak berpuasa sunat, berikut respons Mohd Herzali.
“Itu bermakna ada yang salah pada puasanya. Kita harus faham bahawa mencontohi sunnah Rasulullah SAW merupakan satu sikap yang sangat dituntut dan terpuji. Namun sedarlah, iblis juga sentiasa memainkan ‘jarumnya‘ untuk menghasut orang beriman daripada ikhlas dalam mengerjakan ibadah.
“Oleh itu, peri pentingnya kita benar-benar memahami (tafaqquh) agar setiap ibadah yang dilakukan selari dengan hikmah dan matlamatnya sebagaimana menurut syarak.
“Ingatlah, kita beribadah untuk mendapatkan keredaan ALLAH SWT, bukannya reda manusia. Mudah-mudahan ia dapat mengubah perilaku kita menjadi hamba yang lebih soleh selepas itu,“ nasihatnya.
Sebelum menoktahkan bicaranya, pensyarah itu menitipkan pesanan agar kita segera melakukan koreksi dan introspeksi diri serta menyusun kurikulum ibadah sunnah di rumah dan pejabat sesuai kadar kemampuan sebelum Syaaban membuka tirainya.
“Usah sia-siakan Syaaban kerana ia bulan terbaik untuk kita menggandakan ibadah terutama pada pertengahannya kerana ganjaran pahalanya yang besar, selain menjadi medan latihan terakhir untuk kita menghadapi Ramadan.
“Ibadah paling utama waktu itu semestinya memperbanyakkan berpuasa sunat, di samping bersedekah, membaca al-Quran, qiamullail dan bertaubat kepada ALLAH SWT.
“Analogi Syaaban dan Ramadan ibarat kita mendirikan solat sunat sebelum menyempurnakan solat fardu,“ katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!