Pantau berkala majikan ambil pelajar bekerja

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan membuat pemantauan secara berkala terhadap majikan yang mengambil pekerja yang masih bersekolah bagi memastikan mereka mematuhi syarat dan waktu bekerja ditetapkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut termasuk dalam beberapa cadangan penambahbaikan bagi strategi penyelesaian isu keciciran murid sekolah menengah.

Katanya, antara cadangan lain adalah menyebarluaskan maklumat tentang kepentingan mendapatkan pendidikan sehingga mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada kanak-kanak dan murid yang tidak bersekolah melalui media cetak, media elektronik dan media sosial.

"Pada masa sama, menyediakan pusat latihan vokasional dan memberi sokongan perkhidmatan kaunseling kepada ibu bapa atau penjaga bagi memastikan kanak-kanak dalam jagaan meneruskan persekolahan.

"Selain itu, kerajaan bercadang untuk memberikan sokongan psikososial kepada kanak-kanak yang terlibat dengan situasi perceraian ibu bapa agar mereka meneruskan persekolahan dengan baik dan menyediakan ruang pembelajaran di kawasan tempat tinggal,” katanya dalam satu kenyataan Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bil 1 Tahun 2024.

Tambah Ahmad Zahid, strategi lain yang turut dibangkitkan dalam menangani isu keciciran murid sekolah menengah adalah dengan membantu keluarga yang kesempitan kewangan yang menyebabkan murid perlu bekerja.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjelaskan, mesyuarat itu juga telah mempersetujui program pencegahan, kawalan serta rawatan berkaitan HIV dan AIDS dapat dilaksanakan dengan lancar berdasarkan situasi penyakit itu di Malaysia kini.

Jelasnya, beberapa cadangan penambahbaikan telah dikenalpasti iaitu memperkasakan masyarakat terutamanya kalangan belia dengan pengetahuan yang tepat mengenai HIV dan AIDS, langkah-langkah pencegahan dan isu-isu berkaitan.

Artikel Berkaitan:

“Cadangan lain adalah mewujudkan rumah perlindungan, meningkatkan keterjaminan pekerjaan dan pendidikan orang yang hidup dengan HIV (ODHA), melaksanakan pemantauan berterusan serta membuat sekatan ke atas laman web yang menyebarkan bahan-bahan lucah.

"Turut dicadangkan adalah inisiatif saringan HIV kendiri, Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) ditambah baik serta mewajibkan modul Program Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) dilaksanakan di Intitusi Pengajian Tinggi," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!