Zahalita sempat memasak untuk anak sebelum pergi mendaki

Gambar kenangan Allahyarham Zahalita (duduk, dua dari kanan) bersama keluarganya.
Gambar kenangan Allahyarham Zahalita (duduk, dua dari kanan) bersama keluarganya.
A
A
A

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Pendaki wanita, Zahalita Othman, 52, yang meninggal dunia akibat sesak nafas ketika mendaki Gunung Reskit, Kuala Tahan di Pahang pada Selasa, sempat memasak untuk seminggu buat anak-anaknya.

Anak bongsunya, Safiyyah Umairah Saharuddin, 17, berkata, sebelum ini ibunya tidak pernah memasak untuk mereka sekeluarga jika mahu pergi mendaki.

Namun menurutnya, kali ini ibunya sempat memasak dan menyimpan bekalan masakan selama seminggu.

"Kebiasaannya ibu akan minta kami masak sendiri sebab selalunya ibu mendaki dalam tiga atau empat hari sahaja, tapi kali ini ambil masa seminggu.

"Ibu juga ada pesan kepada kami untuk panaskan masakan itu dan sebelum pergi mendaki itu juga, ibu sempat meminta kami berdoa moga dia selamat pergi dan balik," katanya.

Dari kiri; Safiyyah Umairah, Luqman Haziq dan Zakiah.
Dari kiri; Safiyyah Umairah, Luqman Haziq dan Zakiah.

Safiyyah Umairah berkata, sebelum ini ibunya juga ada memberitahu sangat teruja untuk mendaki di Gunung Reskit, Kuala Tahan kerana ingin menyambut hari lahir di atas gunung.

Dalam pada itu, anak ketiga Allahyarham Zahalita, Luqman Haziq, 25, mengakui masih terkejut dengan pemergian ibunya.

Artikel Berkaitan:

“Ibu mula minat mendaki sejak empat atau lima tahun lepas. Mula-Mula agak terkejut dan seperti tidak percaya ibu sudah tiada sebab kita kenal ibu kita, dia tiada sakit dan seorang yang sihat tetapi kami reda dengan pemergiannya,” katanya.

Sementara itu, adik Allahyarham Zahalita, Zakiah Othman, 40, berkata, dia juga tidak menyangka kata-kata kakaknya bahawa ini aktiviti mendaki terakhir disertainya menjadi kenyataan.

Bagaimanapun katanya, mereka sekeluarga tetap reda dengan pemergian Allahyarham.

"Sebelum ikut ekspedisi kali ini, kakak ada cakap mungkin ini adalah yang terakhir dan ingin sambut hari lahir di atas puncak gunung," katanya.

Zahalita yang merupakan ibu tunggal meninggalkan lima anak berusia antara 17 hingga 32 tahun serta tiga orang cucu.

Jenazah Zahalita selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Mas di sini pada jam 2 pagi Jumaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!