Lelaki langgar polis hingga parah didakwa
IPOH - Seorang lelaki yang melanggar seorang anggota polis sehingga cedera parah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat.
Tertuduh, T Kuna, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa, Lans Koperal Muhammad Dzulfaizi Dzulkafli, 34, dengan melanggar mangsa menggunakan sebuah kereta jenis Proton Iriz.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan kebun ladang sawit, Jalan Chemor, Tanjung Rambutan di sini jam lebih kurang 8 malam pada 4 Februari 2024.
Pertuduhan dibuat di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin mencadangkan jaminan sejumlah RM10,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Kuna yang bekerja sebagai tukang kebun memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana gaji bulanannya hanya RM1,500 selain menjaga ibunya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Mac depan bagi serahan laporan perubatan penuh mangsa dan lantikan peguam tertuduh.
Pada 5 Februari lalu, media melaporkan seorang anggota polis parah dilanggar sebuah kereta ketika menjalankan tugas rondaan cegah jenayah bermotosikal di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor.
Dalam kejadian sekitar jam 7.30 malam itu, mangsa bersama rakan setugasnya menghampiri sebuah kereta jenis Proton Iriz berwarna biru yang dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.
Suspek bagaimanapun bertindak melanggar mangsa sebanyak dua kali dengan mengundur kenderaan sebelum memecut melarikan diri.
Susulan itu, pasangan tunang berusia 34 dan 35 tahun itu berjaya ditangkap bagi membantu siasatan.
TAMAT
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!