Tiga kelindan lori tak mengaku miliki diesel tanpa lesen sah

Dari kanan: Letchuman, Parthiban dan Kesavan diiringi pegawai KPDN ketika hadir ke mahkamah.
Dari kanan: Letchuman, Parthiban dan Kesavan diiringi pegawai KPDN ketika hadir ke mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Tiga kelindan lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel tanpa lesen sah, Rabu lalu.

U C Kesavan, 32, P R Letchuman, 31, dan E Parthiban, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan terhadap Kesavan dan Letchuman, didapati ada dalam kawalan mereka barang kawalan yang merupakan barang berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 9,725 liter dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melanggar Peraturan3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel secara borong tanpa lesen.

Kesalahan itu dilakukan pada 7 Februari 2024 jam lebih kurang 3 petang di dalam sebuah lori berserta sebuah tangki di hadapan sebuah stor di Taman Pinggiran Senawang.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan yang sama dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1)Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta atau tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Letchuman turut berdepan pertuduhan di bawah kesalahan sama dengan Parthiban iaitu memiliki 706 liter minyak diesel dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah di dalam lori lain pada tarikh dan lokasi sama.

Artikel Berkaitan:

Peguam, Tunku Nor Farhana Asheila Tunku Amiruddin yang mewakili kesemua tertuduh merayu anak guamnya diberi jaminan rendah atas alasan mereka mempunyai tanggungan dan merupakan penanggung utama keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Shafiq Mahadi memohon mahkamah mengambil kira keseriusan kes ketirisan yang berlaku dan mencadangkan jaminan RM50,000 setiap tertuduh.

Mahkamah menetapkan jaminan RM17,000 untuk Letchuman manakala RM9,000 untuk Kesavan dan RM8,000 untuk Partheban.

Mereka turut dikehendaki melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, menyerahkan pasport dan dilarang mengganggu saksi sama ada secara sendiri atau pihak ketiga serta menetapkan sebutan semula kes 12 Mac ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!