[VIDEO] Suami isteri lagak samseng di Jambatan Pulau Pinang dihukum

A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sepasang suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan menakutkan secara jenayah yang dilakukan kepada dua lelaki.

Muhammad Hafiz Ong Abdullah, 50, dan isterinya, Ong Ser Ying, 37, yang merupakan peniaga mi membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama telah menakutkan secara jenayah terhadap Mohd Faizul Mat Zain dan Mohd Shadid Sulaiman di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang dari arah pulau ke Perai pada jam 5 petang, 5 Februari lalu.

Disebabkan itu, kedua-dua mereka yang tidak mempunyai anak didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ser Ying juga mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut bersama suaminya pada 5 Februari lalu.
Ser Ying juga mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut bersama suaminya pada 5 Februari lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari.

Nor Shakila memohon mahkamah mengenakan denda yang setimpal kerana perbuatan kedua-dua tertuduh telah membahayakan orang awam.

Artikel Berkaitan:

Dalam rayuannya, Muhammad Hafiz memohon mahkamah mengenakan denda yang rendah berikutan pendapatan bulanannya hanya RM1,500.

"Saya kerja jual mi saja, gaji RM1,500 sebulan," katanya.

Sementara Ser Ying turut memohon mahkamah mengenakan denda yang rendah terhadapnya.

Nurul Rasyidah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM2,500 terhadap setiap tertuduh dan sekiranya tertuduh gagal membayar, mereka akan dipenjara selama enam bulan.

Muhammad Hafiz mengaku bersalah terhadap pertuduhan menakutkan secara jenayah di Jambatan Pulau Pinang.
Muhammad Hafiz mengaku bersalah terhadap pertuduhan menakutkan secara jenayah di Jambatan Pulau Pinang.

Mengikut fakta kes, polis telah mengesan satu klip video yang tular di media sosial menunjukkan dua individu yang menaiki motosikal secara berbahaya di Jambatan Pulau Pinang.

Penunggang (Muhammad Hafiz) dan pembonceng (Ser Ying) didapati telah menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya dan agresif dengan membaling pasir, menendang motosikal yang memotong serta melibas menggunakan tali hitam.

Polis kemudiannya menahan kedua-dua tertuduh pada jam 12.39 tengah hari, 6 Februari lalu di sebuah pasar raya di George Town.

Kedua-dua suami isteri dikenakan denda RM2,500 setiap seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Jumaat.
Kedua-dua suami isteri dikenakan denda RM2,500 setiap seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Jumaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!