'Tak jamah nasi lima hari, hanya makan ubi kayu'
JOHOR BAHRU - Demi kasih dan sayang, seorang nenek di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai di sini sanggup mengambil alih penjagaan empat cucunya selepas anak dan menantunya menghilangkan diri.
Warga emas tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Normah, 70, menjaga empat cucunya berusia 7 bulan, 6, 10 dan 11 tahun sejak mereka semua kecil lagi.
Menurut Normah, dia terputus hubungan dengan anak dan menantu semasa mereka tinggal di Ipoh, Perak.
"Cucu sulung ditinggalkan di rumah mereka selepas dilahirkan pada jam 3 pagi di Ipoh dan menyuruh saya mengambilnya. Cucu kedua pula saya ambil selepas ditinggalkan di tepi jalan sementara cucu ketiga juga saya ambil di hospital.
"Cucu keempat diserahkan kepada saya oleh pihak mahkamah di Ipoh selepas anak saya disabitkan dengan kes menjirus air panas terhadap anak keempatnya itu," katanya ditemui pemberita di rumahnya di PPR tersebut pada Jumaat.
Terdahulu ibu kepada tiga anak itu menerima kunjungan Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam yang menyampaikan sumbangan kepada keluarganya.
Normah yang baru seminggu berpindah ke PPR tersebut berkata, cabaran dan ujian terbesar dihadapinya ketika ini adalah cucu keempat dilahirkan sumbing dan memerlukan pembedahan segera di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
"Doktor memaklumkan cucu keempat saya perlu menjalani empat pembedahan di HSA. Pembedahan tidak dapat dilakukan sebelum ini kerana dia sering demam, selesema, batuk dan sesak nafas," katanya.
Normah yang menghidap penyakit darah tinggi berkata, ketika ini mereka hanya bergantung hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal sebanyak RM1,000 sebulan.
Kata Normah, sebelum ini dia tinggal di Air Panas, Labis, Segamat, bekerja sebagai tukang cuci dan menjual cendol untuk menampung perbelanjaan bulanan serta persekolahan dua cucunya yang kedua-duanya belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).
"Walaupun bekerja semasa di Labis, perbelanjaan tidak pernah cukup. Kami lima beranak pernah tidak menjamah nasi selama lima hari berturut-turut dan hanya makan ubi kayu yang ditanam di rumah untuk mengalas perut.
"Disebabkan ada masalah di rumah keluarga di Labis, saya dihalau dan hilang arah tuju sebelum pergi ke Pejabat SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) di sini untuk memohon bantuan. Kemudian (Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor), Datuk Mohd Jafni (Md Shukor) membantu sehingga dapat berpindah ke PPR ini," katanya.
Sementara itu, Mas Imran berkata, bantuan tersebut berupa barang basah, keperluan asas, susu dan pampers bernilai RM1,100 bagi meringankan beban Normah.
"Ini adalah bantuan secara 'one off ' dan selepas ini pihak Econsave akan membantu cucu-cucu Normah pakaian dan kelengkapan sekolah mereka selain membantu mengemaskan rumahnya bersama Sukarelawan," katanya.
Orang ramai yang mahu menguhulurkan bantuan boleh berhubung menerusi nombor 017 7587639 atau melalui akaun CIMB Bank 7625701781 atas nama Normah Asinar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!