32 kawasan 'hotspot' kemalangan di Sabah - Polis

Jauteh (empat dari kanan) menerima replika kunci van jenazah yang disampaikan Mohd Arifin (empat dari kiri) di pekarangan Masjid Nur Islam IPK Sabah, Kota Kinabalu.
Jauteh (empat dari kanan) menerima replika kunci van jenazah yang disampaikan Mohd Arifin (empat dari kiri) di pekarangan Masjid Nur Islam IPK Sabah, Kota Kinabalu.
A
A
A
KOTA KINABALU - Sebanyak 32 laluan telah dikenal pasti sebagai kawasan 'hotspot' sering berlaku kemalangan di seluruh Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, sempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina kali ini seramai 298 pegawai dan anggota polis trafik akan melakukan penugasan di seluruh Sabah.

"Penugasan ini dilakukan di tempat strategik dan ditempat yang dikenal pasti iaitu sebanyak 32 kawasan hotspot sering berlakunya kemalangan.

"Penugasan ini juga bermula dari 8 hingga 14 Februari ini. Jadi kalau pengguna jalan raya melihat mana-mana tempat ada banyak trafik, mereka sedang melaksanakan penugasan itu bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini pada Jumaat.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan pengguna sentiasa berhati-hati ketika di jalan raya terutama di kawasan yang sering dilaporkan mengalami kerosakan jalan raya.

"Ini yang kita minta kepada seluruh pengguna jalan raya di kawasan yang sering kita dengar berlaku kerosakan jalan ini supaya jangan memandu melebihi kelajuan yang ditetapkan.



"Supaya kalau ada objek di depan seperti lubang dan sebagainya, sempat untuk pengguna jalan raya mengelak," katanya.

Sementara itu, dalam program berasingan, IPK Sabah telah menerima dua van jenazah daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dalam satu majlis penyerahan kenderaan itu oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Agama Islam Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Jauteh dalam ucapannya berkata, dua van jenazah itu bakal menjelajah ke seluruh Sabah untuk memenuhi tanggungjawab kepada pihak yang memerlukan termasuk mereka yang bukan beragama Islam.

"Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa IPK Sabah ini memang kekurangan van jenazah dan syukur Alhamdulillah atas keprihatinan kerajaan negeri yang memberikan sumbangan ini sekali gus akan memudahkan urusan yang berkaitan dengan van ini.
Artikel Berkaitan:


"Bagaimanapun, dalam PDRM ini bukan semuanya beragama Islam jadi kita tidak mahu timbul isu jika van ini digunakan untuk memindahkan tubuh dari satu ke tempat lain termasuk masuk ke kawasan gereja atau perkuburan bukan Islam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!