Anak bakar rumah ibu kerana pertikaian duit pencen

Pemuda ditahan selepas disyaki membakar kediaman ibunya susulan pertikaian wang persaraan bapa pada Khamis. Foto hiasan
Pemuda ditahan selepas disyaki membakar kediaman ibunya susulan pertikaian wang persaraan bapa pada Khamis. Foto hiasan
A
A
A

JAKARTA - Seorang pemuda telah ditahan selepas disyaki membakar kediaman ibunya di wilayah Mamuju, Sulawesi Barat susulan pertikaian wang persaraan bapa pada Khamis.

Rumah milik Rahmatia, terletak berdekatan dengan kawasan peranginan terkenal Pantai Lombang-lombang, dibakar anak lelakinya, Irfandi, 30 tahun, pada kira-kira pukul 9 pagi waktu tempatan.

Ketua Balai Polis Kalukku, Inspektor Makmur dalam satu kenyataan mengesahkan penahanan suspek yang juga dikenali sebagai Ippang dan lokasi kejadian telah dipasang garis polis untuk memudahkan siasatan.

Siasatan awal mendapati ketegangan hubungan ibu dan anak berpunca setelah mendapati ibunya mengeluarkan wang pencen bapanya tanpa memaklumkan kepadanya.

"Suspek juga tidak puas hati terhadap pembinaan rumah di atas tanah yang hak milik masih dalam pertikaian," kata Makmur.

Irfandi nekad memulakan kebakaran dengan menyalakan api di tirai tingkap sehingga mengakibatkan kemusnahan rumah dan harta benda bernilai 40 juta rupiah, sekitar RM12,200. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!