Ubahsuai tangki lori seludup diesel
TUMPAT - Taktik licik mengubahsuai tangki lori bagi mengaburi mata pihak berkuasa untuk tujuan penyeludupan diesel terbongkar selepas diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan pada Khamis.
Lori tiga tan jenis Daihatsu ditahan dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Wakaf Bharu di sini pada jam 1.30 petang.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, semasa ditahan lelaki berusia 30-an itu sedang mengisi 180 liter minyak ke dalam tangki lori terbabit.
"Siasatan awal mendapati suspek mengaku membuat isian secara berulang di beberapa buah stesen minyak sekitar Tumpat," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurut beliau, terdahulu pada jam 11.30 pagi KPDN Kelantan telah menahan sebuah kereta jenis Proton Wira di jalan Kampung Tujuh.
Ujarnya, hasil pemeriksaan telah menjumpai 58 liter minyak petrol berada di dalam tangki tambahan kereta berkenaan.
Azman memberitahu, terdahulu pihaknya telah mengesan kereta tersebut sejauh lima kilometer sebelum berjaya ditahan di Kampung Tujuh.
"Pada masa sama, kita juga menahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an untuk membantu siasatan," katanya.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Kami sentiasa mempertingkatkan tugasan penguatkuasaan serta Ops Tiris dan Ops Membanteras Ketirisan Barang Kawalan di negeri ini dari masa ke semasa.
"Tindakan tegas diambil bagi membendung kegiatan aktiviti tidak bermoral ini supaya pengguna dapat menikmati sepenuhnya subsidi kerajaan, seterusnya suspek akan dikenakan denda yang tinggi serta dipertuduhkan di mahkamah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!