Madad teruskan hasrat Azraai Khor wujud akademi bola sepak berteras Islam
PENGARAH Urusan Murtadha Dakwah Center (Madad), Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusuff akan meneruskan hasrat dan impian Allahyarham Mohd Azraai Khor Abdullah, 72, untuk mewujudkan akademi bola sepak berteraskan Islam.
Beliau berkata, ini kerana Mohd Azraai kelihatan bersungguh-sungguh untuk merealisasikan akademi berkenaan malah pernah berkata program tersebut adalah saham akhiratnya.
Katanya, pemilihan terakhir akan berlangsung pada Sabtu ini dan ia sepatutnya turut dihadiri oleh Mohd Azraai.
"Pada Khamis dia ada hubungi saya tetapi saya tidak sempat jawab, kemudian dalam jam 10.43 pagi dia ada buat panggilan suara beritahu tak sihat dan risau dengan program Madad Soccer Academy kami. Saya difahamkan sejam kemudian dia sudah nazak.
"Di saat-saat akhir ketika sedang sakit pun dia masih risaukan program yang memberi manfaat kepada orang lain. Dia pun selalu sebut inilah akhirat dia dan jika ini yang terakhir buatlah sebaik mungkin," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Taman Uda di sini pada Khamis.
Menurutnya, Mohd Azraai menjalin kerjasama dengan Madad sejak tahun lalu bagi mencari bakat muda di seluruh daerah negeri ini untuk diserapkan ke dalam Madad Soccer Academy.
"Hasrat Allahyarham nak cari orang yang pandai main bola dan hafal al-Quran. Main bola wajib tutup aurat, kalau ada yang mai pemilihan tak tutup aurat, dia tak bagi main.
"Inilah Azraai Khor, dia tak perlu jadi ustaz, tapi dia bawa agama dalam kehidupan orang lain," katanya.
Jelasnya, Madad Soccer Academy adalah satu-satunya akademi yang ditinggalkan oleh Allahyarham untuk dikenang dan beliau akan mengekalkan akademi itu sampai bila-bila.
"Saya fokuskan kepada Madad Soccer Academy kerana ini aspirasi beliau (arwah), jika hendak diharapkan saya seorang saya tidak ada kekuatan dan pengalaman, jadi ini salah satu benda yang kita akan kekal selama-lamanya iaitu Madad Soccer Academy.
"Insya-ALLAH pengambilan pelajar pun akan masuk pada hujung Mac nanti. Sekurang-kurangnya ada satu benda yang arwah tinggalkan dengan jasa dan pengalamannya," katanya.
Sebelum ini, bekas ketua jurulatih Kedah itu dilaporkan meninggal dunia akibat serangan strok pada Khamis.
Allahyarham mencatat sejarah membawa Kedah muncul juara double treble pada 2007 dan 2008, selain turut pernah membimbing beberapa pasukan tempatan lain seperti Negeri Sembilan dan Perak serta menjadi ketua jurulatih skuad Harimau Muda pada 2010.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!