Dua budak terselamat, dua hari selepas tanah runtuh landa Filipina
MANILA - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dan bayi lelaki berusia dua bulan berjaya diselamatkan selepas kejadian tanah runtuh melanda beberapa perkampungan di wilayah Davao de Oro Filipina dua hari lepas, menurut Persatuan Palang Merah Filipina pada Jumaat.
Dalam satu kenyataan pengerusi agensi kemanusiaan itu Dick Gordon berkata, kedua-dua mangsa yang terselamat segera dikejarkan ke hospital di bandar berdekatan, lapor Xinhua.
Kejadian tanah runtuh yang berlaku malam Selasa berhampiran tapak perlombongan di bandar Maco, mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang manakala 34 penduduk cedera.
Lebih 100 lagi masih hilang dipercayai tertimbus akibat bencana itu, menurut kerajaan wilayah.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!