Pekerja kontrak dera anak 5 tahun didakwa
IPOH - Seorang pekerja kontrak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas tuduhan mendera anak perempuannya berusia lima tahun dalam kejadian empat hari lalu.
Tertuduh, Muhamad Firdaus Hasan, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didapati melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak perempuannya yang berusia lima tahun.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Persiaran Klebang Selatan 7, Taman Bertuah di sini sekitar jam 8 malam pada 5 Februari 2024.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang diketuai Muhammad Haiqal Asyraf Suhaimi menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta jumlah tersebut dikurangkan.
Muhamad Firdaus memberi alasan gajinya sebagai pekerja kontrak hanya RM1,500 sebulan selain mempunyai komitmen beberapa hutang dan menyara seorang isteri serta dua anak.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin manakala 27 Mac depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini tertuduh ditangkap selepas guru tadika kanak-kanak tersebut membuat laporan polis apabila menemui kesan lebam di lengan tangan kanan mangsa.
Susulan itu, kanak-kanak terbabit dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan dan doktor mengesyaki mangsa itu mungkin mengalami trauma.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!