Ribuan raikan kehadiran PM di Jonker Walk
MELAKA - Ribuan rakyat Melaka daripada pelbagai lapisan usia tidak melepaskan peluang bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau mengadakan lawatan ke Jonker Walk di sini petang ini.
Semasa sesi pertemuan bersama rakyat termasuk pelancong asing yang berlangsung kira-kira 20 minit itu, Anwar diraikan dengan persembahan naga yang telah mencipta nama dalam Malaysia Book Of Record baru-baru ini, sebagai naga terpanjang.
Naga sepanjang 179.2 meter dengan berat bahagian kepala 60 kilogram itu diarak oleh 180 individu.
Sebagai simbolik meraikan kehadirannya di Jonker Walk, Anwar menekan butang yang mengeluarkan semburan air pada replika naga gergasi yang dibina sebagai maskot sambutan Tahun Baharu Cina, di Tugu Memorial Persahabatan Melaka dan China.
Turut mengiringi beliau adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, barisan kepimpinan negeri serta pegawai dari pelbagai agensi dan jabatan negeri dan Persekutuan.
Kehadiran Anwar di Jonker Street itu juga adalah sebagai meraikan Tahun Melawat Melaka 2024 dan menyerikan sambutan Baharu Cina. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!