Tak sempat sambut Tahun Baharu Cina di Thailand
ALOR SETAR - Hasrat dua beranak yang mahu menyambut Tahun Baharu Cina di negara jiran, Thailand bertukar tragedi apabila salah seorangnya maut dalam kemalangan di Kilometer 51.9 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mangsa berusia 16 tahun bersama ibu dan rakan ibunya menaiki kereta jenis Perodua Alza dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Thailand.
Menurutnya, dalam kejadian jam 5.40 pagi itu, kenderaan yang dinaiki ketiga-tiga mangsa sedang bergerak dari Pendang menghala ke Alor Setar.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Alza yang dinaiki mangsa berada di lorong kanan dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri lalu melanggar bahagian belakang sebelah kanan sebuah lori yang bergerak di lorong kiri.
"Akibat dari kemalangan itu terdapat serpihan kenderaan di atas jalan dan selepas beberapa minit kemudian, sebuah motosikal yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak dan melanggar serpihan kenderaan berkenaan," katanya pada Jumaat.
Ahmad Shukri berkata lagi, mangsa yang merupakan seorang pelajar Tingkatan Empat tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jelasnya, ibu mangsa yang berusia 43 tahun cedera di kaki dan rakan ibunya pula yang berusia 50-an tidak cedera.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!