Fahmi harap sambutan Tahun Baharu Cina bawa limpahan kebahagiaan
KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua masyarakat Cina dan berharap sambutan kali ini akan dipenuhi dengan kegembiraan dan kebahagiaan.
"Semoga Tahun Naga ini membawa banyak peluang dan kekayaan sepanjang perjalanan dan semoga kehidupan anda dipenuhi dengan kegembiraan dan kebahagiaan.
"Selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada semua rakan yang meraikannya dan saya doakan anda dan orang tersayang sentiasa sihat, bahagia, sejahtera dan panjang umur," kata Fahmi dalam Facebooknya hari ini.
Perayaan Tahun Baharu Cina bermula esok sempena sambutan Tahun Naga.
Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dalam catatan Facebooknya berharap Tahun Naga akan membawa kejayaan yang melimpah, kemakmuran dan tuah kepada semua.
"Ketika kami mengucapkan selamat tinggal kepada yang lama dan menerima yang baru, saya ingin menyampaikan ucapan ikhlas buat semua sempena sambutan Tahun Baharu yang meriah ini," katanya.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang pula berharap sambutan Tahun Baharu Cina akan dimeriahkan dengan suasana dan tradisi kunjung-mengunjung jiran tetangga sekali gus meningkatkan semangat kebersamaan antara rakyat.
"Semoga tahun baharu ini membuka rahmat yang lebih baik untuk negara," katanya dalam hantaran di Facebook.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam hantaran video ringkas menerusi laman X berkata, sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini menonjolkan keharmonian yang wujud antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
"Kegembiraan, keharmonian dan kemakmuran menjadi idaman kita semua. Meskipun kita berbeza agama, budaya dan bangsa tetapi kita tetap sehati sejiwa," katanya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina berkata, sikap saling menghormati antara rakyat menjadi resipi kepada keamanan dan keharmonian negara.
"Kekuatan yang ada pada diri setiap warga Malaysia menjadikan kita sebuah negara yang mampu bersaing dan setanding dengan negara-negara besar lain.
"Marilah kita bersama merayakan tradisi ini dengan menyuburkan lagi hubungan kasih sayang antara ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai dengan menyambutnya dengan penuh semangat, keceriaan dan keakraban," katanya dalam hantaran Facebook.
Turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina adalah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Saifuddin dalam hantaran di Facebook berharap agar perpaduan antara rakyat mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang baik untuk didiami segenap lapisan masyarakat.
Tengku Zafrul pula berharap Tahun Naga akan membawa semangat #MalaysiaMadani dan menyatukan rakyat dengan kemakmuran, keberkatan dan kejayaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!