Pas Perak gesa pihak berkuasa agama negeri selaras enakmen jenayah Islam

Razman Zakaria
Razman Zakaria
A
A
A

IPOH - Pas Perak menggesa pihak berkuasa agama negeri-negeri di Malaysia melaksanakan agenda bersama untuk memperkukuhkan penyelarasan enakmen jenayah Islam.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, gesaan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung petisyen difailkan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman Nik Elin mencabar keabsahan enakmen jenayah Syariah yang diluluskan kerajaan negeri Kelantan pada 2019.

Menurutnya, keputusan Mahkamah Persekutuan yang memihak kepada Nik Elin itu membuka ruang lebih banyak perkara khasnya berkaitan Islam dicabar.

"Perlembagaan berinspirasikan Lord Reid telah meninggalkan bom jangka kepada masa depan Islam di negara ini.

"Kuasa yang dimiliki selama ini tidak digunakan memperkukuhkan Islam sebaliknya membiarkan ruang itu terus lemah.

"Asas perlembagaan sebenarnya telah memiliki rangka mendaulatkan Islam apabila perkara tiga Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan Islam adalah agama persekutuan dan agama lain boleh diamalkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kerangka asas negara yang diusahakan alim ulama dan pejuang terdahulu ternyata gagal diisi sepanjang tempoh umat Islam memiliki kuasa dua pertiga di Parlimen.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu Pas Perak menyeru semua pihak terutama umat islam untuk menyedari betapa satu usaha bersungguh-sungguh dan bersepadu mesti segera dilakukan," katanya.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengambil langkah segera melindungi undang undang berkaitan Islam dari terus dicabar.

Menurutnya, semua parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam perlu menggerakkan kekuatan umat Islam menjadi kuasa pendesak kepada kerajaan berkaitan kedaulatan Islam yang semakin berani dicabar.

Dalam pada itu, Razman berkata, Pas Perak bersedia berkomunikasi serta bekerjasama dengan semua pihak dalam segala ruang melangkaui sempadan politik, agama dan bangsa di atas kesepakatan menjaga Islam.

Pada Jumaat, Mahkamah Persekutuan di sini mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan yang dipertikaikan, dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah.

Keputusan majoriti dicapai dengan lapan hakim menyokong pempetisyen itu manakala seorang menentang.

Selain Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, hakim lain yang menyokong ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Sebelum ini, peguam, Nik Elin Zurina, 62, dan Tengku Yasmin Nastasha, 26, memfailkan petisyen terhadap kerajaan negeri Kelantan dalam usaha mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!