Deretan empat rumah teres dua tingkat terbakar
CHERAS - Deretan empat rumah teres dua tingkat di Taman Kemacahaya dekat sini musnah dalam kebakaran pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, panggilan kecemasan diterima berhubung kejadian itu pada jam 7.42 petang.
Menurutnya, hampir satu jam masa diambil bagi mengawal kebakaran rumah kelas A berkeluasan 366 meter persegi itu.
"Operasi membabitkan 30 anggota pelbagai pangkat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussien Onn, Serdang dan Kajang.
" Api berjaya dikawal jam 8.47 malam dan operasi pemadaman masih diteruskan," katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, dianggarkan dua rumah terjejas teruk manakala dua yang lain terbakar kurang 20 peratus.
"Rumah pertama terbakar 90 peratus di tingkat atas dan bawah sementara rumah kedua sebanyak 40 peratus.
"Rumah ketiga dan keempat pula terbakar antara 10 dan 20 peratus namun hanya membabitkan bahagian garaj," katanya.
Bagaimanapun Ahmad Mukhlis berkata, tiada mangsa terlibat dalam kebakaran terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!