Anthony Loke hargai AirAsia laksana kadar tetap penerbangan tambahan tengah malam
Menerusi video terbaharu di Facebooknya hari ini, Anthony Loke berkata, inisiatif yang diambil oleh syarikat penerbangan tempatan itu menjadikan ia lebih mampu ditampung untuk rakyat Sabah dan Sarawak pulang ke kampung meraikan Tahun Baharu Cina dengan tambang serendah RM298.
"Saya ingin berterima kasih kepada AirAsia kerana menyokong inisiatif kerajaan menyediakan lebih banyak penerbangan tambahan tengah malam pada tambang tetap,” katanya.
Sebagai menunjukkan penghargaannya terhadap usaha dibuat oleh AirAsia itu, Loke juga telah memberikan kemeja-T merah percuma kepada penumpang penerbangan AK9070 ke Sibu, Sarawak pada 7 Februari lepas, simbol kepada kemakmuran dalam meraikan ketibaan Tahun Naga esok.
Pada 15 Disember lepas, Loke mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberi subsidi kepada pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi melebihi RM599 untuk perjalanan sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan, selama tiga hari sebelum musim perayaan utama termasuk Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Kaamatan, Hari Gawai dan Krismas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!