Pengalaman matangkan Qatar

Penyerang dengan gaya rambut yang mencuri perhatian ramai, Akram Afif merupakan taruhan terbaik Qatar menjelang aksi final menentang Jordan di Stadium Lusail malam ini. Foto AFP
Penyerang dengan gaya rambut yang mencuri perhatian ramai, Akram Afif merupakan taruhan terbaik Qatar menjelang aksi final menentang Jordan di Stadium Lusail malam ini. Foto AFP
A
A
A

PENAMPILAN sulung Qatar dalam Piala Dunia FIFA di laman sendiri lebih 13 bulan lalu berakhir dengan tiga kekalahan tetapi penyerang, Akram Afif percaya pengalaman itu telah mendewasakan pasukannya dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Asia yang dimenangi pada edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut Akram, pengalaman beraksi di Piala Dunia telah membantu pasukannya menyerap tekanan bermain di laman sendiri bagi kejohanan Piala Asia.

“Setiap kejohanan yang kami mainkan, kami banyak belajar daripadanya. Piala Dunia? Ya, itu pertama kali bagi kami dan terus terang saya katakan ia sukar.

“Sekarang Piala Asia adalah kejohanan kedua kami bermain di laman sendiri dan pengalaman di Piala Dunia banyak mematangkan kami untuk tampil lebih baik dalam setiap perlawanan," katanya.

Sama seperti dalam edisi empat tahun lalu, penyerang berusia 27 tahun itu telah memainkan peranan penting dalam perjalanan Qatar menuju ke final dan Akram berpeluang merangkul Anugerah Kasut Emas sekiranya meledak dua gol pada aksi final,

Pendahulu penjaring terbanyak ketika ini ialah penyerang Iraq Aymen Hussein yang mengumpul keseluruhan enam gol.

Qatar bimbingan Marquez Lopez, mempamerkan prestasi cemerlang pada kempen kali ini apabila mara ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan A tanpa bolos.

The Maroons kemudian menewaskan Palestin (pusingan 16 terbaik), mengatasi Uzbekistan (suku akhir), sebelum menundukkan juara tiga kali Iran pada pertembungan separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

Selain Akram, Qatar juga mempunyai senjata unggul di bahagian serangan iaitu ketua pasukan Hassan Al-Haydos dan penjaring terbanyak edisi lalu Almoez Ali, selepas masing-masing kini mengumpul tiga dan dua gol sepanjang kempen kali ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!