Import gred 'A' hanya pilih JDT, Selangor, TFC
JOHOR Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC (TFC) antara pasukan yang menjadi pilihan pemain import berkualiti untuk bermain dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Richard Scully berkata, kesemua pasukan itu mempunyai sumber kewangan yang kukuh, memiliki fasiliti terbaik selain menjaga kebajikan pemain dengan baik.
“Pasukan-pasukan ini sentiasa menjadi sasaran pemain import yang berkualiti kerana mempunyai kewangan yang stabil dan pelbagai kelebihan yang mereka miliki.
“Walaupun jurang antara Selangor dan TFC itu agak jauh, namun setiap tahun mereka cuba bersaing dan kita nampak import atau pemain tempatan yang bagus mahu bermain dengan mereka. Ini satu perkembangan yang bagus dan secara tidak langsung meningkatkan taraf liga kita juga di mata dunia," katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini, Sukan Sinar melaporkan Liga Malaysia (Liga-M) mempunyai aura tersendiri selepas beberapa pemain import yang beraksi di Liga
Super tampil cemerlang di pentas Piala Asia bersama pasukan masing-masing.
Bagaimanapun, ranking Liga-M agak teruk apabila berada di kedudukan ke-87 dunia mengikut data yang dikeluarkan oleh Persekutuan Antarabangsa Sejarah dan Statistik Bola Sepak (IFFHS).
Namun, beliau menegaskan pasukan lain perlu meningkatkan kualiti mereka terutama memperbaiki pengurusan kewangan agar dapat menyaingi JDT, Selangor dan TFC.
Menurutnya, kehadiran pemain import berkualiti juga menjadi satu elemen positif apabila pemain tempatan perlu memastikan mereka berada pada kualiti tersendiri untuk mencabar import.
“Pasukan lain perlu bergerak pantas untuk cuba bersaing kerana mereka juga akan menentukan kedudukan rating kita di peringkat antarabangsa.
“Jika masih ada masalah tunggakan gaji dan kebajikan pemain tidak terjaga, ia akan memberikan kesan besar kepada liga kita.
“Ambil setakat yang termampu. Usah bebankan pasukan dengan nafsu berbelanja itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!