Aliran trafik bergerak perlahan, namun terkawal

Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama lancar, namun bergerak perlahan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, setakat jam 9 pagi ini. Foto hiasan
Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama lancar, namun bergerak perlahan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, setakat jam 9 pagi ini. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama lancar, namun bergerak perlahan di sebahagian kawasan ekoran peningkatan jumlah kenderaan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina, setakat jam 9 pagi ini.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik di Plaza Tol Jalan Duta (arah utara) dan Plaza Tol Sungai Besi (menuju selatan) serta Plaza Tol Gombak (arah Pantai Timur) menunjukkan keadaan lalu lintas yang sesak tetapi lancar dan terkawal.

Aliran trafik menuju utara bergerak perlahan antaranya dari arah Rawang ke Sungai Buaya, Slim River ke Sungkai, Perak dan di selatan, arah Nilai ke Bandar Ainsdale, menghala Seremban.

"Aliran trafik dari Skudai ke Senai dan Kulai ke Simpang Renggam juga dilaporkan perlahan. Smart Lane diaktifkan. Bagi Lebuhraya KL - Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan LPT2 lancar untuk dilalui setakat ini.

"Begitu juga aliran trafik di Tol Bentong, juga lancar dan tiada sebarang peningkatan jumlah kenderaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Akaun rasmi X PLUS Trafik memaklumkan aliran trafik bergerak lancar, namun terdapat beberapa lokasi perlahan disebabkan kemalangan.

"Kemalangan di Kilometer (KM) 47.6 dari Sedenak ke Simpang Renggam. Tiada lorong terhalang. Trafik perlahan. Pandu berhati-hati. Harap maklum,” katanya.

Menurut PLUS Trafik, terdapat kereta rosak di ELITE KM 1.3 arah selatan dari Shah Alam ke Seafield menyebabkan lorong kiri terhalang, namun aliran trafik terkawal. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!