'Frog man' dapat perhatian MAIWP
KUALA LUMPUR - Kesusahan kehidupan seorang pemuda, Salman Abdullah, 23, yang juga dikenali sebagai 'frog man' mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Mohd Na'im berkata, beliau bersama pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkesempatan menziarahi keluarga pemuda terbabit di Menara Putra, Chow Kit dan turut menyampaikan sumbangan.
MAIWP sebelum ini jelas beliau, pernah menemui bapa pemuda terbabit, Johari Md Salleh, 52, serta menyampaikan bantuan selain meminta supaya menyediakan dokumen yang diperlukan bagi menerima bantuan bulanan.
"Salman dan bapanya, ibu (Saniah Taib, 52) dan kakaknya (Siti Norashikin, 24) pernah disantuni MAIWP sebanyak lima kali sebelum saya datang ziarah pada kali ini dan MAIWP telah menghulurkan bantuan kepada mereka.
"Cuma dalam setiap pertemuan dengan bapa Salman dan ibunya ada perkara yang diperlukan iaitu berkaitan dengan dokumen supaya mereka boleh didaftarkan sebagai asnaf serta mendapat bantuan tetap daripada MAIWP," katanya selepas menziarani Salman dan keluarganya, di sini pada Khamis.
Bagaimanapun, beliau telah memujuk Salman dan keluarganya supaya menyediakan dokumen diperlukan bagi memudahkan pihak MAIWP memproses maklumat seterusnya menyalurkan bantuan.
Antara bantuan yang ditawarkan MAIWP kepada keluarga Salman merangkumi bantuan kewangan bulanan, sewa rumah serta bantuan perubatan termasuk susu dan lampin diperlukan oleh kakaknya.
Sebelum ini, Salman rela berpanas dengan memakai kostum katak berwarna merah jambu demi mencari rezeki serta perbelanjaan untuk menampung keperluan kakaknya yang menghidap penyakit jantung berlubang.
Hampir setiap hari, Salman bersama keluarganya akan menolak troli membawa kostum haiwan itu menuju ke sebuah pusat membeli belah di ibu negara.
Sebaik tiba di lokasi, Salman yang sempat bersekolah setakat tahun empat itu akan memperagakan kostum berkenaan untuk menghiburkan orang ramai yang kemudiannya memberi sumbangan kepadanya seikhlas mungkin.
Sementara itu, Salman ketika ditemui tetap bersyukur kerana rezeki halal diterima hasil menjadi 'frog man', dia dapat menampung keperluan keluarga termasuk perbelanjaan penjagaan kakanya itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!